Had tempoh PM 10 tahun elak pemusatan kuasa-Bersih

Iklan
Sekiranya diluluskan, pindaan itu akan memperkukuh semak dan imbang dalam sistem pemerintahan negara serta menghalang dominasi kuasa eksekutif yang berpanjangan.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri dilihat mampu menjadi mekanisme penting bagi mengelakkan pemusatan kuasa terlalu lama pada seorang pemimpin sehingga berpotensi membawa kepada kecenderungan autoritarian.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan, sekiranya diluluskan, pindaan itu akan memperkukuh semak dan imbang dalam sistem pemerintahan negara serta menghalang dominasi kuasa eksekutif yang berpanjangan.

Iklan
Iklan

“Kelulusan RUU ini akan menjadi mekanisme untuk mengelakkan pemusatan kuasa Perdana Menteri yang memegang kuasa terlalu lama sehingga boleh membawa kepada kediktatoran,” menurut kenyataan media gabungan berkenaan pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, Bersih menggesa semua ahli Parlimen tanpa mengira parti supaya menyokong RUU Pindaan Perlembagaan (D.R. 4/2026) yang menetapkan had tempoh 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.

Iklan

Menurutnya, pembentangan RUU tersebut merupakan manifestasi penting kepada lonjakan agenda Reformasi Institusi yang diperjuangkan Kerajaan Madani untuk jangka panjang.

“Langkah ini memberi kesan positif kepada pengukuhan demokrasi serta akauntabiliti kepimpinan tertinggi negara,” katanya.

Iklan

Bersih turut merujuk penegasan Perdana Menteri bahawa had tempoh berkenaan akan turut terpakai kepada beliau sendiri yang kini telah memegang jawatan lebih tiga tahun.

Sehubungan itu, gabungan berkenaan menekankan bahawa sokongan dwipartisan amat penting bagi memastikan pindaan berkenaan dapat diluluskan di Parlimen.

“Semua anggota Parlimen perlu membahaskan RUU ini dengan baik dan berkesan demi kepentingan negara,” menurut kenyataan tersebut.

Selain had tempoh jawatan Perdana Menteri, Bersih turut mencadangkan kerajaan melaksanakan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi mengurangkan ketidaktentuan politik.

Menurutnya, langkah itu penting untuk mengelakkan pertukaran Perdana Menteri atau kerajaan di pertengahan penggal yang kerap berlaku kebelakangan ini.

“Situasi ini jelas dilihat selepas peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan perubahan kerajaan dalam tempoh singkat,” katanya.

Bersih menegaskan pertukaran kerajaan yang terlalu kerap boleh mewujudkan ketidakstabilan politik serta menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur.

“Kerajaan yang tidak stabil akan melemahkan sistem demokrasi berparlimen serta menjejaskan kesinambungan dasar negara,” menurut kenyataan itu lagi.

Justeru, gabungan tersebut berpandangan pelaksanaan penggal tetap Parlimen mampu memastikan mandat rakyat dihormati sepanjang tempoh pemerintahan.

Menurut Bersih, reformasi institusi yang dicadangkan itu berpotensi mengangkat amalan demokrasi berparlimen Malaysia ke tahap yang lebih kukuh dan matang.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut memaklumkan bacaan kali kedua dijangka berlangsung pada minggu depan.