SEMENYIH - Taktik majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori bagi menjimatkan kos terbongkar dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Balakong di sini pada Isnin.
Operasi itu dijalankan JPJ dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebagai sebahagian usaha berterusan perkukuh penguatkuasaan ke atas pemandu asing.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bermula jam 6.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 1 tengah hari.
Menurutnya, sebanyak 13 kenderaan telah disita iaitu melibatkan 11 lori di bawah 7,500 kilogram, sebuah kereta dan van.
“Warga asing terbabit digajikan bagi membawa lori barangan termasuk barangan runcit, manakala kereta adalah kenderaan e-hailing.
“Tiga kesalahan utama yang dikesan ialah tiada Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 16 kes, diikuti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 12 kes serta tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak lapan kes,” katanya dalam sidang media di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih di sini.
Menurutnya, sejumlah 47 notis tindakan dikeluarkan melibatkan pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk 47 notis (P)22 iaitu arah periksa serta notis di bawah Seksyen 61(1), 63(1) dan 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata, dalam operasi sama, JIM menahan 13 warga asing terdiri daripada enam warga Pakistan, lima warga India, seorang warga Nepal dan seorang warga Bangladesh.
Muhammad Kifli berkata, antara alasan majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori ialah mahu menjimatkan kos kerana bayaran gaji yang rendah.
"Usah fikir tentang keuntungan, tapi fikirkan tentang keselamatan serta nyawa pengguna jalan raya lain," ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana 11 lori yang dipandu warga asing itu sepatutnya digajikan kepada pemandu tempatan.
"JPJ melahirkan rasa kesal kerana masih ada majikan yang bersekongkol dan bersubahat. Kita tegas dan tiada toleransi kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.
"Tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan kenderaan, pengeluaran notis dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh," ujarnya.
Tegasnya, JPJ juga memberi amaran keras kepada pemilik kenderaan dan majikan supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan serta dokumen sah.
"Sebarang kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil tanpa kompromi," ujarnya.