Waspada pautan tawaran, jemputan buka puasa - Polis

Iklan
Rusdi mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan dengan pihak penganjur yang sah sebelum mempercayai sebarang tawaran.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai berwaspada dan tidak menekan pautan daripada sumber tidak dikenali berkaitan tawaran atau jemputan berbuka puasa di aplikasi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil semakan yang dijalankan pihaknya mendapati tiada rekod laporan polis atau kes yang direkodkan secara spesifik berkaitan pautan penipuan jemputan berbuka puasa seperti yang didakwa setakat ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun JSJK tidak menolak kemungkinan wujud percubaan penipuan menggunakan taktik pautan palsu (phishing) yang menyamar sebagai jemputan majlis, tawaran berbuka puasa percuma atau sumbangan Ramadan bagi memperdaya mangsa untuk mendapatkan maklumat peribadi dan perbankan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak dikenali atau meragukan.

Iklan

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak berkongsi maklumat peribadi, nombor TAC, kata laluan perbankan atau butiran kad kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, orang ramai perlu membuat semakan dengan pihak penganjur yang sah sebelum mempercayai sebarang tawaran.

Iklan

Jelasnya, masyarakat diminta menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis dengan segera sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan.

Tegasnya, JSJK sentiasa memantau trend penipuan yang mengambil kesempatan atas musim perayaan atau bulan Ramadan dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai,” ujarnya.