Hanya Hamzah hadir, kerusi Muhyiddin kosong di Dewan Rakyat

Iklan
Kerusi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat kosong di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerusi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat kosong di Dewan Rakyat hari ini selepas pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada parti itu pada 13 Februari lalu.

Bagaimanapun, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden parti itu kelihatan hadir seperti biasa dan mengambil tempat di blok pembangkang bersebelahan Muhyiddin.

Iklan
Iklan

Pas dijangka mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu turut dipersetujui Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan.

Iklan

Sementara itu, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional yang disandang Muhyiddin selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kini diambil alih oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Pas.

Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN semalam sebulat suara melantik Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi baharu PN berkuat kuasa serta-merta.

Iklan

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Muhyiddin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau; dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.

Selain Hamzah, Lembaga Disiplin parti itu turut memecat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga ahli majlis parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik.

Turut dipecat ialah Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan; Ahli Majlis dan ADUN Bemban, Mohd Yadzil Yaakub; serta Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

Tindakan disiplin parti itu juga membabitkan pemimpin di peringkat bahagian termasuk Setiausaha Bersatu Sabah dan Ketua Bahagian Libaran, Yunus Nurdin; Datuk Abdul Aziz (Dungun); Mohd Hassundi Hamzah (Larut); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); dan Mohd Yunus Mohd Yusof (Tapah).