SHAH ALAM - Keputusan untuk melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu dilihat bukan sekadar pertukaran kepimpinan.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, ia juga mesej bahawa gabungan itu sedang menyusun langkah lebih rapi dan berstrategi dalam kerangka menawarkan kepimpinan nasional yang diyakini menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Profesor Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) itu, Ahmad Samsuri selaku Pengerusi memikul tanggungjawab besar untuk memimpin PN yang terdiri daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Malaysian Indian People's Party (MIPP).
Jelas Baharom lagi, jawatan disandang bukan bersifat simbolik, sebaliknya menentukan hala tuju dasar, strategi pilihan raya serta kredibiliti PN sebagai gabungan yang bersedia memimpin negara.
"Latar belakang beliau memberikan dimensi tersendiri. Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroangkasa dari University of Leeds United Kingdom (UK) serta berpengalaman sebagai ahli akademik dan penasihat teknologi, Dr Samsuri membawa imej kepimpinan profesional yang berteraskan fakta dan angka.
"Dalam konteks Pas, beliau memperlihatkan definisi baharu kepimpinan daripada model ulama-tradisional kepada kepimpinan ulama-teknokrat yang lebih inklusif, menterjemahkan kesyumulan Islam dalam suasana pentadbiran moden yang semakin mencabar," katanya menerusi ruangan Pendapat Sinar Harian pada Isnin.
Baharom menambah, pengalaman Ahmad Samsuri menerajui Terengganu selama dua penggal sebagai Menteri Besar memperkukuhkan lagi kredibiliti tersebut.
Jelasnya, di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri atau mesra dipanggil Dr Sam, PN mencatatkan kemenangan menyeluruh dalam pilihan raya negeri (PRN) apabila memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, menjadikan negeri itu satu-satunya tanpa pembangkang di DUN.
"Di peringkat Parlimen pula, PN turut menyapu bersih semua kerusi di Terengganu. Rekod ini memberi legitimasi politik yang kukuh kepada beliau di pentas nasional," ujarnya.
Bagaimanapun, Baharom yang juga Felo Ekonomi dan Perniagaan di 'The Future Research' berpendapat bahawa ukuran sebenar kepimpinan nasional bukan sekadar rekod pilihan raya, tetapi keupayaan dalam menangani isu rakyat khususnya kos sara hidup, tekanan pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi.
Kata beliau, secara realitinya dalam konteks kos sara hidup, rakyat sedang berdepan kenaikan harga makanan, perumahan dan perkhidmatan asas yang menekan isi rumah berpendapatan rendah serta sederhana.
Tambahnya, gangguan rantaian bekalan global, kebergantungan kepada import makanan serta ketirisan dalam sistem pengedaran domestik memburukkan keadaan.
"Dalam kerangka ini, PN di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri boleh mengangkat agenda penstrukturan semula rantaian bekalan makanan secara menyeluruh, daripada pengeluaran sehingga kepada pengguna," jelasnya.
Ujar Baharom dari sudut pendapatan dan gaji pula, cadangan yang wajar diketengahkan adalah agenda peningkatan produktiviti nasional melalui pemerkasaan industri berteknologi, inovasi tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana.
Ini kerana pada hematnya, keadaan semasa menunjukkan pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan peningkatan kos hidup.
Beliau turut menambah, reformasi pendidikan dan latihan teknikal perlu diperkukuh agar peningkatan kemahiran pekerja selari dengan keperluan industri masa hadapan.
"Dengan latar belakang teknikalnya, Ahmad Samsuri berpotensi mengangkat wacana ekonomi yang berfokus kepada penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi berasaskan kemahiran dan nilai tambah," kata Baharom.
Menyentuh soal tadbir urus fiskal, Baharom memaklumkan, disiplin kewangan menjadi keutamaan dan rakyat menuntut ketelusan serta kecekapan dalam perbelanjaan awam, khususnya pelaksanaan subsidi mahupun bantuan bersasar.
"PN berpeluang menampilkan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang berhemat, mengurangkan pembaziran serta memastikan setiap ringgit perbelanjaan memberi impak maksimum kepada kesejahteraan rakyat.
"Ketelusan dalam pelaporan kewangan dan pengukuhan tadbir urus akan menjadi asas penting memulihkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya tahan ekonomi.
"Dalam masa sama, harapan besar kini tertumpu kepada kemampuan beliau merejuvenasi PN sebagai sebuah gabungan yang lebih tersusun, matang dan berwibawa," katanya.