SHAH ALAM - Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan masih berdiam diri apabila ditanya mengenai statusnya sebagai Ketua Pembangkang.
Memetik laporan The Star, Ahli Parlimen Larut itu enggan mengulas lanjut, namun memberi jaminan bakal mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.
“Nanti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahli Parlimen pembangkang yang lain juga dikhabarkan enggan memberikan respons lanjut.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang dilantik menjalankan tugas Timbalan Presiden parti ketika ini hanya memberikan maklum balas pendek apabila ditanya perkara sama.
“Tidak mengapa. Perkembangan terbaharu akan dimaklumkan tidak lama lagi,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu.
Begitu juga Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang mengatakan perkara paling penting buat masa sekarang adalah keadaan Perikatan Nasional (PN) dianggotai Pas dan Bersatu baik-baik sahaja.
“Selebihnya akan menyusul. Sebarang keputusan bergantung kepada PN,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menambah, Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang buat masa ini.
“Kita akan lihat apa yang diputuskan oleh PN. Apa pun, kami yakin Pengerusi PN baharu akan membuat keputusan yang bijaksana.
“Katanya Ketua Pembangkang seterusnya berkemungkinan daripada Pas. Sesiapa pun individu itu, terpulang kepada mereka.
"Kita lihat bagaimana perkembangannya nanti. Secara peribadi, saya berharap beliau (Hamzah) mengekalkan jawatan tersebut,” ujar Wan Saiful.
Beliau turut mendakwa bahawa Pas yang sebelum ini mencalonkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, bukannya Bersatu.
Wan Saiful juga memaklumkan, seramai 18 Ahli Parlimen yang bersama Hamzah akan memberi sokongan agar beliau dicalonkan semula sebagai Ketua Pembangkang.
“Satu keputusan perlu dibuat segera bagi meredakan sebarang ketidaktentuan. Saya berharap perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat,” jelasnya lagi.
Pada 13 Februari lepas, Hamzah dipecat keahliannya daripada Bersatu bersama beberapa lagi pemimpin lain berkuat kuasa serta-merta selepas diputuskan Lembaga Disiplin mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti.