Masalah rakyat lebih penting dari isu dalaman parti - Pas Perak

Iklan
Idris

IPOH - Pas Perak menegaskan kepentingan dan kebajikan rakyat perlu didahulukan berbanding sebarang isu dalaman parti susulan pelantikan kepimpinan baharu Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad berkata, isu dalaman komponen yang masih dalam proses penyelesaian tidak seharusnya mengalih perhatian daripada agenda lebih besar iaitu membela nasib rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tumpuan harus diberikan terhadap penyelesaian konkrit terhadap isu-isu dihadapi rakyat ketika ini serta menjadi alternatif yang lebih baik.

"Pas Perak berpendirian tegas bahawa kepentingan dan kebajikan rakyat mestilah didahului berbanding sebarang isu dalaman komponen yang masih dalam proses penyelesaian.

Iklan

"Rakyat sedang memerhati dan menaruh harapan tinggi. Justeru PN komited untuk menjadi alternatif terbaik yang fokus kepada penyelesaian masalah kos sara hidup dan kestabilan ekonomi bukannya terjebak dalam politik remeh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Idris berkata, Pas Perak merakamkan kesyukuran serta menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang melantik Naib Presiden Pas, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu berkuat kuasa serta-merta.

Iklan

Menurutnya, pelantikan tersebut bukan sekadar pertukaran kepimpinan, malah dilihat sebagai anjakan strategik dalam usaha memperkukuh saf perjuangan blok pembangkang di negara ini.

"Apa yang telah berlaku dalam PN sebelum ini termasuk proses peralihan kepimpinan dan pelbagai cabaran dalaman adalah lumrah atau asam garam dalam sebuah wadah perjuangan yang hidup.

"Segala ujian ini tidak sedikit pun melemahkan semangat malah mematangkan lagi kerjasama antara parti komponen demi kelangsungan agenda penyatuan ummah," katanya yang juga Naib Presiden Pas.

Beliau yakin kepimpinan baharu itu akan memberi fokus untuk memacu kesedaran rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, kewibawaan Ahmad Samsuri yang mempunyai latar belakang teknokrat diyakini mampu menyatukan sokongan rakyat yang mahukan pentadbiran berintegriti serta stabil.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Samsuri dilantik Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa pada Ahad.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu dibuat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan Januari lalu.