Rumah jadi transit penyeludupan migran

Iklan
Antara individu yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di Banting di sini pada Ahad.

KUALA LANGAT – Kegiatan sindiket penyeludupan migran yang menjadikan sebuah rumah sebagai lokasi transit sebelum warga asing dibawa keluar dari negara ini melalui laluan tidak diwartakan terbongkar selepas operasi khas dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada Ahad.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, dalam operasi bermula jam 10 malam itu, seramai 16 warga Indonesia ditahan hasil maklumat awam serta risikan selama tiga minggu.

Iklan
Iklan

"Kita telah menahan satu lelaki warga Indonesia yang dipercayai sebagai ‘transporter’ berusia 36 tahun.

"Pasukan operasi kemudian melakukan pemeriksaan ke atas kediaman terbabit dan menahan 15 lagi warga Indonesia terdiri daripada 11 lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga 46 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Lokman Effendi berkata, semakan awal mendapati kesemua migran yang ditahan dipercayai tinggal melebihi tempoh dibenarkan di negara ini.

Antara individu yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di Banting di sini pada Ahad.

Iklan

"Pasukan operasi telah menyita enam pasport Indonesia, satu unit telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Honda City yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menggunakan sebuah rumah sebagai penempatan sementara sebelum migran dibawa keluar dari Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan di sekitar perairan Pantai Morib.

"Sindiket diuruskan oleh seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan dipercayai didalangi oleh individu di Indonesia yang menyelaras pergerakan migran melalui aplikasi WhatsApp.

"Sindiket yang beroperasi sejak satu bulan itu menyasarkan warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal dan mempunyai kesalahan imigresen. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM1,500 bagi setiap seorang," katanya.

Lokman Effendi berkata, lelaki yang bertindak sebagai ‘transporter’ itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Kesemua migran warga Indonesia yang ditahan pula disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut," ujarnya.