PH tepati janji manifesto reformasi institusi

Iklan
Kor Ming

IPOH – Pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun yang dijadual dibentangkan esok bukti komitmen Pakatan Harapan (PH) melaksanakan reformasi institusi.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, bacaan pertama Rang Undang-Undang pindaan berkenaan dijadualkan dibentangkan di Parlimen manakala bacaan kedua dan ketiga dijangka pada 2 dan 3 Mac ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika pindaan tersebut diluluskan Malaysia bakal menjadi negara pertama yang mengamalkan sistem Westminster mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun.

"Selama ini, hanya negara yang mengamalkan sistem Presiden seperti Amerika Syarikat, Indonesia, Taiwan dan Filipina mempunyai had dua penggal tapi bagi sistem Perdana Menteri, Malaysia akan jadi yang pertama.

Iklan

"Ini membuktikan janji manifesto PH sedang ditepati satu demi satu," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall di sini pada Ahad.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pindaan berkaitan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan memastikan tiada lagi konflik kepentingan dalam pelaksanaan kuasa pendakwaan.

Iklan

Katanya, Peguam Negara akan terus berperanan sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan, manakala kuasa pendakwaan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Pendakwa Raya yang berasingan.

Jelas beliau, pindaan tersebut merupakan kali keempat Perlembagaan Persekutuan dipinda di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Sebelum ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan telah pun diluluskan dan akan dikuat kuasa bermula 1 Jun ini.

Selain itu, pindaan turut melibatkan pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman menerusi pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Empat kali pindaan Perlembagaan ini jelas menunjukkan reformasi semakin subur dan janji manifesto PH dilaksanakan langkah demi langkah demi manfaat rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang memaklumkan, sebanyak 17 keluarga terjejas akibat kejadian banjir dan ribut di kawasan tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan khidmatnya telah turun padang sehari selepas kejadian dan menyalurkan bantuan kewangan kecemasan berjumlah RM23,000 kepada keluarga terlibat.