KUALA LUMPUR - Ibu Pejabat Pas Pusat di sini, sekali lagi menjadi tumpuan susulan Mesyuarat Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung pada Ahad.
Beberapa pemimpin parti komponen PN termasuk Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Dominic Lau antara yang dilihat hadir.
Turut hadir, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini memangku tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Difahamkan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah berada di pejabat itu sejak pagi bagi menghadiri mesyuarat yang dijadual berlangsung pada jam 3 petang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengesahkan akan menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dalam kenyataan berkata, pertemuan tersebut bakal membincangkan perkara-perkara melibatkan pemerkasaan PN.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu berkata, mesyuarat kali ini dijangka menjadi detik penentu bagi menetapkan individu yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
Peletakan jawatan tersebut disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook.