Sultan Sallehuddin kurnia 1,200 kotak bantuan Ramadan kepada rakyat Kedah

Iklan
Sultan Kedah (tengah) berkenan secara simbolik menyampaikan kotak kurniaan berupa barangan makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti kepada Pegawai Daerah.

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sebanyak 1,200 kotak bantuan makanan sempena Ramadan kepada rakyat negeri ini dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Anak Bukit di sini pada Sabtu.

Keberangkatan baginda ke Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Kedah dan Majlis Berbuka Puasa itu mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja dalam menyantuni rakyat, khususnya golongan yang memerlukan sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Iklan
Iklan

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali serta Pengerusi Media dan Ketua-Ketua Pengarang termasuk Pengarang Sinar Harian, Junhairi Alyasa.

Iklan

Dalam majlis tersebut, baginda bersama Raja Muda Kedah dan Tunku Mahkota Kedah secara simbolik berkenan menyampaikan kotak kurniaan berupa barangan makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti melalui Pegawai Daerah.

Sementara itu, Pejabat Tuanku Sultan Kedah dalam kenyataan berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Sultan Kedah terhadap rakyat, khususnya pada bulan Ramadan tahun ini.

Iklan

Menurut kenyataan itu, sebanyak 1,200 kotak bantuan melibatkan 12 daerah di seluruh negeri akan disalurkan melalui Pejabat Daerah masing-masing bermula 22 Februari ini sebelum diagihkan kepada golongan sasaran.

"Majlis ini mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan Institusi Diraja Kedah dalam menyantuni rakyat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan," katanya.