KUALA LUMPUR – Nyawa ditaruhkan demi tugas kepada negara, itu antara simbol keberanian pegawai terlibat dalam operasi khas pembebasan mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang dilaksanakan Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas Bukit Aman pada 2012.
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay mengimbau kembali operasi berisiko tinggi itu menerusi perkongsian di laman Facebook beliau, sekali gus membuka semula kisah keberanian pasukan elit berkenaan dalam melaksanakan misi sulit merentas sempadan.
Menurutnya, mangsa, Mohd Nazarrudin Saidin diculik sekumpulan lelaki bersenjata pada 8 Mei 2011 ketika berada di Pulau Sulu, Selatan Filipina bagi menguruskan perniagaan mencari cicak tokek yang ketika itu mempunyai nilai tinggi di pasaran gelap.
"Mangsa ditahan selama 378 hari dan dipindahkan dari satu pulau ke satu pulau lain di gugusan kepulauan Mindanao bagi mengelak dikesan pihak berkuasa Filipina.
"Sepanjang tempoh tersebut, mangsa hidup dalam ketakutan, diugut bunuh, dipaparkan video kekejaman serta diancam akan dipenggal kepala sekiranya tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata, selepas hampir setahun tanpa khabar berita, usaha membawa pulang mangsa digerakkan melalui misi senyap yang dilaksanakan pegawai Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman yang kini dikenali sebagai Bahagian Counter Terrorism E8 Cawangan Khas.
Ayob Khan berkata, pada awal April 2012 ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman, beliau menerima panggilan daripada Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung rayuan keluarga mangsa.
"Susulan itu, saya mengarahkan pegawai bertemu keluarga mangsa di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menilai situasi sebenar kes penculikan tersebut.
"Rayuan penuh emosi daripada anak-anak mangsa yang memohon jasa baik pihak polis untuk menyelamatkan bapa mereka menguatkan iltizam kami untuk membantu walau apa jua risiko,” katanya.
Menurutnya, tiga pegawai operasi dengan nama samaran Reno, Jaybon dan Komeng dipanggil bagi merangka strategi serta kaedah terbaik menyelesaikan kes berkenaan secara sulit dan berkesan.
Ketiga-tiga pegawai itu kemudian digerakkan ke Sandakan, Sabah untuk bertemu beberapa sumber lapangan yang mempunyai rangkaian di Selatan Filipina bagi mengenal pasti lokasi terkini mangsa serta kaedah membawa keluar mangsa dengan selamat.
"Hasil risikan mendapati kes ini diketuai Apo Mike @ Majan Sahidjuan yang merupakan Sub-Komander Abu Sayyaf dan perancang utama kegiatan culik untuk wang tebusan di pantai timur Sabah.
"Rundingan menekankan hujah kemanusiaan serta keadaan keluarga mangsa yang daif dan hakikat mangsa merupakan saudara seagama Islam, sedikit demi sedikit melembutkan pendirian penculik,” katanya
Beliau berkata, pada awal Mei 2012, beliau bersama beberapa pegawai berlepas ke Sandakan dan membuka Tactical Operation Center (TOC) di lokasi sulit bagi menyelaras operasi tersebut.
Kerja risikan lapangan termasuk pemerhatian pergerakan keluar masuk bot dan kapal di perairan Sandakan turut dijalankan bagi mengenal pasti waktu serta laluan paling sesuai untuk pergerakan tanpa dikesan.
"Pada 11 Mei 2012, sumber digerakkan ke Pulau Jolo bagi mengambil mangsa yang ditahan ASG.
"Sumber tersebut mengambil risiko besar dengan belayar hampir 24 jam menggunakan bot laju dalam keadaan laut ganas sambil mengelak dikesan kumpulan penculik lain,” katanya.
Menurutnya, pada 13 Mei 2012 kira-kira jam 2 pagi, dua pegawai operasi menunggu di kawasan pokok bakau sekitar Jampiras, Sandakan sebelum menerima mangsa di tengah perairan Sandakan-Taganak pada jam 5 pagi.
Mangsa bersama pegawai operasi akhirnya selamat mendarat di Sandakan pada jam 6.15 pagi tanpa dikesan mana-mana pihak.
"Kejayaan operasi sulit berisiko tinggi ini hasil perancangan rapi dan keberanian pegawai-pegawai Counter Terrorism khususnya Reno, Jaybon dan Komeng yang merupakan wira tidak didendang dan hanya dikenali dengan nama samaran,” katanya.