KUALA LUMPUR – Aksi meniarap di atas motosikal ala ‘Superman’ selain bergerak zig-zag antara kenderaan menjadi antara lagak berbahaya yang dipamerkan sekumpulan samseng jalanan sebelum digempur dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman di Lebuhraya KL–Seremban (PLUS) di sini pada Jumaat.
Risikan yang dijalankan sebelum itu mendapati beberapa penunggang motosikal dipercayai melakukan pelbagai aksi lagak ngeri selain berlumba sesama sendiri sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
Bagaimanapun, keasyikan mereka mempamerkan kehebatan terbantut apabila lokasi berkenaan diserbu dalam Op Penguatkuasaan Motosikal yang dilaksanakan Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, dalam operasi tersebut pasukan mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan pelbagai aksi berbahaya selain berlumba sesama sendiri di laluan utama lebuh raya.
“Perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri penunggang, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Hasil tindakan yang diambil, seramai tiga lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 20 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, tindakan dijalankan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, dua saman turut dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.
Menurutnya, Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman akan terus mempergiat operasi seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tunggangan motosikal berbahaya atau perlumbaan haram diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam usaha memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terjamin,” katanya.