'Kami risau sebab sebelum ini ada buaya' - Luah mangsa banjir di Sabah

Iklan
Hujan berterusan hampir 24 jam menyebabkan beberapa kampung di Pitas dilanda banjir. Gambar kecil: Judin dan Salma

PITAS - Hujan berterusan hampir 24 jam menyebabkan beberapa kampung di daerah ini dilanda banjir apabila air naik secara mendadak sehingga memasuki rumah penduduk pada lewat malam.

Situasi itu mencetuskan detik cemas buat Judin Basir, 36, apabila dia terjaga daripada tidur dan mendapati air sudah memenuhi ruang rumahnya pada Khamis malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tidak menyangka hujan berpanjangan akan menyebabkan paras air meningkat begitu pantas.

“Saya hanya sedar apabila air sudah cecah katil dan terkena pada bahu saya ketika sedang tidur,” katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, sebaik tersedar dia segera bangun untuk menyelamatkan barangan penting, namun keadaan berlaku terlalu pantas.

“Barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh sudah terkena air sebelum sebahagiannya dihanyutkan arus,” katanya.

Iklan

Salma bimbang berikutan kedudukan rumahnya yang berhampiran Sungai Taka.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Salma Hasan, 42, meluahkan kebimbangan berikutan kedudukan rumah mereka yang berhampiran Sungai Taka.

Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini pernah dilalui buaya termasuk anak buaya, sekali gus menimbulkan rasa takut setiap kali banjir melanda.

“Memang risau sebab sebelum ini ada buaya, anak buaya pun pernah lalu. Rumah kami memang dekat dengan sungai.

“Semalam juga ada binatang berbisa seperti ular masuk ke dalam rumah. Anak-anak hampir terpijak ular itu,” katanya.

Bagaimanapun, Salma berkata, dia dan keluarganya tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana paras air mulai surut.

“Semalam air hampir paras dada, hari ini sudah turun ke paras lutut. Kami akan berpindah jika hujan turun lagi dan air naik semula,” katanya.