AMPANG JAYA – Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM10,000 selepas diperdaya sindiket penipuan penebusan tiket loteri dalam kejadian di Jalan Pandan Prima, Dataran Pandan Prima pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, wanita berusia 70 tahun yang juga pesara Jabatan Perangkaan Malaysia dipercayai dipukau sebelum menyerahkan barang kemas miliknya sebagai cagaran kepada suspek.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, mangsa didatangi tiga individu terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia ketika berada di kawasan makanan basah sebuah pasar raya di lokasi berkenaan.
"Suspek menunjukkan sekeping tiket loteri yang didakwa bernilai RM300,000 dan meminta bantuan mangsa untuk menebusnya kerana tidak mempunyai kad pengenalan.
"Mangsa turut dijanjikan imbuhan sekiranya membantu suspek menebus tiket loteri tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seorang wanita yang disyaki warga Indonesia itu kemudian memegang mangsa sehingga wanita terbabit berasa seperti dipukau sebelum bersetuju membantu mereka.
"Mangsa seterusnya mengikuti ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu ke beberapa lokasi sekitar Ampang.
"Mangsa dibawa ke Ampang Point dan kawasan belakang sebuah restoran sebelum salah seorang suspek mendakwa tiket loteri itu telah ditukar kepada cek," katanya.
Menurutnya, suspek kemudian meminta cagaran sebanyak RM30,000 sebagai jaminan kononnya bagi memastikan mangsa tidak melarikan diri.
"Bagaimanapun, mangsa yang tidak mempunyai wang tunai menyerahkan seutas rantai emas dan seutas gelang emas miliknya sebagai cagaran.
"Anggaran keseluruhan nilai barang kemas yang diserahkan adalah sebanyak RM10,000," ujarnya.
Khairul Anuar berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank berhampiran bagi tujuan menunaikan cek berkenaan.
"Namun, sebaik sahaja mangsa diturunkan dari kenderaan, kesemua suspek melarikan diri dan gagal dikesan.
"Mangsa mengesyaki dirinya dipukau sehingga menyerahkan barang kemas tersebut sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.