'Kongres khas DAP hanya drama politik, bukan petanda keluar kerajaan' - Lian Ker

Iklan
Lian Ker berkata, mengugut untuk keluar kerajaan itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya merupakan realiti politik yang amat sukar.

SHAH ALAM – Pengumuman DAP untuk mengadakan kongres khas pada 12 Julai depan bagi menentukan sama ada pemimpin partinya dalam Kabinet perlu meletak jawatan disifatkan hanya permainan persepsi politik dan bukan petanda sebenar parti itu akan meninggalkan Kerajaan Madani.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pengalaman politik menunjukkan ugutan keluar kerajaan lazimnya hanya bertujuan meredakan tekanan dalaman serta memberi isyarat kepada akar umbi dan bukannya keputusan muktamad.

Iklan
Iklan

"Apabila DAP mengumumkan kongres khas untuk menentukan sama ada kekal dalam Kerajaan Madani atau tidak, ia kedengaran besar dan bersejarah. Namun, skrip ini bukan baharu.

"MCA pernah melakukan perkara sama apabila presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti akan menentukan masa depan MCA dalam Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan.

Iklan

"Dalam kedua-dua kes ini, kitarannya hampir serupa, iaitu liputan media yang hangat, mobilisasi emosi akar umbi, laungan demokrasi parti sebelum berakhir dengan 'keputusan senyap' untuk kekal dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilapor berkata, parti itu akan mengadakan kongres khas bagi membolehkan perwakilan parti menentukan sama ada pemimpin parti dalam kerajaan harus meletak jawatan atau tidak.

Iklan

Anthony juga menyifatkan kongres berkenaan sebagai 'referendum' dalaman dengan menekankan bahawa sekiranya perwakilan parti memutuskan untuk menarik diri daripada peranan eksekutif, 40 ahli Parlimen DAP masih akan menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Lian Ker menjelaskan, sebab mudah mengapa keputusan itu akan diambil adalah kerana mengugut untuk keluar kerajaan itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya merupakan realiti politik yang amat sukar.

"Apabila sesebuah parti sudah berada dalam kerajaan, memegang jawatan Kabinet, mempengaruhi pelantikan, membentuk belanjawan dan mempunyai akses kepada institusi berkaitan kerajaan, kos pengorbanan untuk kembali menjadi pembangkang amat perit.

"Pembangkang mungkin menawarkan kejelasan moral, tetapi hampir tiada pengaruh. Tiada sumber, tiada kawalan dasar dan tiada jaminan kelangsungan politik. Realiti ini difahami oleh DAP dan MCA," ujarnya.

Lian Ker mendakwa, walaupun kepimpinan kedua-dua parti tersebut bertutur dalam bahasa politik berbeza, mereka berada dalam kekangan yang sama serta mekanisme dan ekosistem yang serupa.

Menurutnya, hal itu juga bermaksud kekal dalam kerajaan akan mengekalkan kerelevanan, manakala keluar pula berisiko menjadi tidak relevan.

"Atas sebab itu, kebanyakan undian 'kekal atau keluar' bukan detik genting sebenar. Apabila diumumkan, kepimpinan lazimnya sudah mengetahui angka, risiko dan keputusan yang bakal terhasil.

"Undian itu menjadi konsensus terurus yang bertujuan melepaskan tekanan dalaman, bukan mengubah hala tuju strategik," kata beliau.

Lian Ker menambah, dari segi perbezaan antara Anthony dan Ka Siong pula, ia lebih kepada nada dan bukan naluri.

Katanya, Anthony menampilkan diri sebagai pentadbir yang tenang dan membingkaikan penyertaan berterusan dalam kerajaan sebagai tanggungjawab untuk melindungi reformasi, memastikan kestabilan dan mengelakkan kekacauan.

"Ka Siong pula menggunakan bahasa maruah dan kelangsungan parti. Drama AGM MCA bertujuan meredakan kegelisahan ahli yang merasakan parti dipinggirkan dalam BN. Namun, keputusannya tetap terikat oleh realiti sama.

"Bagi MCA, meninggalkan BN bukan satu protes, tetapi satu tindakan membunuh diri secara politik. Naratif berbeza, kesimpulan sama, iaitu bersuara lantang tetapi kekal di dalam," ulasnya.