SHAH ALAM- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau melihat UMNO lebih stabil berbanding parti lain yang sedang menghadapi pergeseran dalaman.
Menurutnya, di samping itu cara kepimpinan beliau dalam mengurus perbezaan pandangan tanpa mencetuskan perpecahan besar turut memberi gambaran positif kepada rakyat.
"Ahmad Zahid juga berjaya mengendalikan perbezaan pendirian yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini tanpa menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam UMNO.
"Selain itu, daripada semua parti-parti politik lain juga, nampak tidak ada apa-apa masalah dalaman dalam UMNO," katanya menerusi rakaman audio siar Keluar Sekejap (KS) bersama Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan.
Beliau turut berpendapat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkemungkinan mengekalkan sokongan kepada kerajaan sedia ada hingga pilihan raya sebelum membuat langkah politik seterusnya.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan kemenangan besar UMNO di Melaka dan Johor sekiranya pilihan raya negeri tidak diadakan serentak dengan pilihan raya umum akan memberi momentum kepada parti itu.
“Bukan saya kata kemenangan mutlak di Melaka dan Johor itu akan diterjemahkan kemenangan mutlak di PRU16.
“Saya rasa UMNO masih lagi jauh di mata persepsi rakyat untuk mendapat kemenangan mutlak, tetapi saya rasa keputusannya akan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.