SHAH ALAM – Menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) susulan kemelut yang berlaku dalam gabungan berkenaan menjadi keutamaan Pas ketika ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya PN berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran negara, semua pihak perlu dilibatkan.
Justeru katanya, mesyuarat Pas yang dijadualkan pada Ahad ini dijangka membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang dan mengenai PN.
“Kita akan bincang dalam mesyuarat Pas, insya-ALLAH sehari dua lagi. Paling penting dalam perbincangan mesyuarat nanti ialah kita perlu selamatkan PN, kerana Pas berpendapat jika mahu memerintah negara mesti membabitkan semua pihak,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada Jumaat.
Beliau turut berkongsi video kenyataannya itu di media sosial.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi di Rusila, sehari selepas beliau dipecat daripada parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk mengambil alih kepimpinan PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi PN.
Sementara itu, ketika ditanya sekiranya Pengerusi PN daripada Pas yang diumumkan kelak tidak mendapat persetujuan Bersatu, beliau berkata, perkara tersebut belum diputuskan lagi.
“Kita belum buat keputusan lagi, tengok dulu macam mana,” katanya.