KUANTAN - Seorang anggota tentera yang mengikuti kursus kru Armor Kelas 1 di Kem Batu 10 di sini, dilaporkan meninggal dunia petang Khamis selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika mengesahkan perkara itu berkata, Truper K Indiran, 22, ditemukan tidak sedarkan diri pada Rabu lepas di kem berkenaan, sebelum dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.
"Bedah siasat telah selesai dan tiada apa-apa kecederaan fizikal dialami anggota itu. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Ketika ini, ahli keluarga anggota tentera berkenaan berada di Jabatan Perubatan Forensik HTAA bagi menguruskan proses membawa pulang jasad anggota berkenaan ke Pulau Pinang untuk disemadikan.
Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa kematian anggota berkenaan dikaitkan dengan perbuatan buli.
Sementara itu, bapa tiri mendiang, L Mathivanan, 35, berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berhubung dengan Indiran sehari sebelum anak sulung daripada empat beradik itu dilaporkan tidak sedarkan diri.
"Kami ada buat panggilan video dan Indiran kelihatan seperti biasa, sihat dan gembira malah merancang untuk membuat perhimpunan keluarga bulan depan.
"Memang terkejut dengan apa yang terjadi, Indiran juga merupakan anak bertanggungjawab dan membantu adik-adik yang masih belajar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTAA.
Indiran adalah antara 1,144 perajurit muda berjaya menamatkan sesi latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson pada 15 Sept 2024.
Anggota berkenaan juga merupakan anak kepada Mejar C Kayamboo iaitu juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang meninggal dunia dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.
Bernama sebelum ini turut melaporkan tragedi pahit itu tidak pernah menghalang Indiran bergelar tentera dan mengikuti jejak langkah bapanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Darah satria mendiang bapa mengalir dalam badan Indiran