Masyarakat sivil gesa kerajaan tubuh RCI siasat dakwaan terhadap Azam Baki, SPRM

Iklan
Rangkaian individu dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa Kerajaan Madani menubuhkan RCI atau panel bebas bagi menyiasat dakwaan serius melibatkan SPRM serta Ketua Pesuruhjayanya.

KUALA LUMPUR – Rangkaian individu dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa Kerajaan Madani menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau panel bebas bagi menyiasat dakwaan serius melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Gesaan itu dibuat susulan pendedahan berkaitan pemilikan saham Azam Baki serta dakwaan salah guna kuasa, kekayaan luar biasa yang tidak dapat dijelaskan dan pemerasan melalui kuasa kawal selia.

Iklan
Iklan

Kumpulan berkenaan mencadangkan siasatan tersebut dipengerusikan tokoh berwibawa dan dihormati seperti mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bagi menjamin kebebasan serta kredibiliti proses siasatan.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat, siasatan bebas berkenaan perlu melibatkan wakil pelbagai lapisan masyarakat dan hasilnya mesti didedahkan kepada umum kerana melibatkan kepentingan awam.

Iklan

“Kami menggesa Perdana Menteri memulakan penubuhan RCI atau panel bebas yang dipengerusikan tokoh dihormati bagi menyiasat semua tuduhan terhadap SPRM dan Azam Baki,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu disokong oleh 48 organisasi masyarakat sivil termasuk Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Rasuah Busters, Projek SAMA, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Bersih, C4 Center, Agora Society Malaysia, AWAM, ALTSEAN-Burma, Buku Jalanan Chow Kit, Cahaya Society, COAC, CIJ, CRIB Foundation dan CSO Platform for Reform.

Iklan

Mereka turut mempersoalkan keputusan Kabinet yang menghadkan siasatan kepada jawatankuasa ad hoc dalaman serta skop sempit hanya terhadap pegangan saham Azam Baki.

“Kami berpendapat pendekatan ini tidak mengambil kira keseluruhan dakwaan yang melibatkan kemungkinan salah guna kuasa dan pemerasan ekonomi,” kata kumpulan itu.

Sehubungan itu, empat tindakan segera dikemukakan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM dan sistem keadilan negara.

Pertama, panel bebas yang dianggotai tokoh berintegriti serta bebas daripada pengaruh politik perlu ditubuhkan segera untuk menyiasat semua tuduhan terhadap SPRM dan Azam Baki.

Kedua, Azam Baki disaran mengambil cuti sementara sepanjang siasatan bebas dijalankan bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Ketiga, satu pelan reformasi SPRM secara menyeluruh perlu dirangka melalui inkuiri Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat sebelum 31 Disember 2026.

“Reformasi ini termasuk proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang bebas daripada pengaruh Eksekutif tetapi tertakluk kepada semakan Parlimen,” menurut kenyataan itu lagi.

Keempat, kerajaan digesa memberi jaminan bahawa pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab kepada Parlimen.

Kumpulan itu turut menyatakan ketiadaan mekanisme pengawasan yang jelas terhadap SPRM ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap ketelusan institusi berkenaan.

“Kegagalan melaksanakan reformasi berisiko menjejaskan keyakinan pelabur, rakan antarabangsa dan rakyat terhadap integriti negara,” jelas kenyataan tersebut.

Kumpulan itu menegaskan isu berkenaan melangkaui kepentingan politik dan menuntut tindakan tegas bagi memastikan akauntabiliti serta kedaulatan undang-undang terus terpelihara.