Taktik ikrar palsu tak menjadi, lebih 37 tan e-waste dirampas di Pelabuhan Klang

Iklan
Taktik memalsukan pengikraran dagangan dalam sistem maklumat kastam bagi membawa masuk e-waste erbongkar selepas AKPS menahan dua kontena di Pelabuhan Klang Barat pada Jumaat.

PELABUHAN KLANG – Taktik memalsukan pengikraran dagangan dalam sistem maklumat kastam bagi membawa masuk sisa elektronik (e-waste) terbongkar selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan dua kontena di Pelabuhan Klang Barat di sini pada Jumaat.

Pemeriksaan fizikal kira-kira jam 9 pagi itu diketuai Komander AKPS Port Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal susulan enam kontena ditahan oleh petugas mesin pengimbas kontena di pelabuhan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada enam kontena itu mengandungi e-waste membabitkan barangan seperti alat kawalan jauh, papan kekunci, mesin kad kredit, unit pemprosesan pusat (CPU), pencetak serta mesin cetak resit.

"Salah satu kontena didapati membawa muatan seberat 14,832 kilogram (kg), manakala sebuah lagi seberat 22,196kg," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Antara sisa e-waste yang dirampas oleh AKPS di Pelabuhan Klang Barat.

Nik Ezanee berkata, pemeriksaan itu turut melibatkan Pasukan Unit Kawalan Kontena (CCU) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kedua-dua kontena berkenaan masuk ke dalam negara pada Disember tahun lalu dan Februari dengan membuat pengikraran palsu dalam sistem maklumat kastam.

"Sebuah kontena diikrarkan sebagai ABS flakes manakala satu lagi diikrarkan sebagai mesin industri," katanya.

Beliau berkata, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Semua kontena yang mengandungi e-waste tersebut akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan penghantaran semula ke negara asal.

"Kita akan terus mempergiat pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara sentiasa terpelihara," tegasnya.