SHAH ALAM - Seorang individu bertindak menyamar sebagai wanita dengan memakai tudung serta membawa beg tangan sebelum dipercayai memecah masuk sebuah rumah di kawasan Pusat Komersial Seksyen 7, di sini, pada Rabu.
Bagaimanapun tindakan suspek itu terbongkar apabila aksinya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian itu tular di media sosial sebelum satu laporan polis dibuat mangsa pada jam 7.20 malam, 18 Februari lalu.
Beliau berkata, mangsa merupakan seorang wanita Melayu berusia lingkungan 20-an yang juga pelajar sebuah universiti awam tempatan serta penyewa rumah di unit berkenaan bersama rakan-rakannya.
"Mangsa memaklumkan kali terakhir meninggalkan rumah tersebut pada 17 Februari lalu untuk pulang bercuti di kampung.
"Bagaimanapun pada 18 Februari, kira-kira jam 6.30 petang, selepas pulang bercuti, mangsa mendapati pintu masuk utama rumahnya terbuka dan keadaan dalam rumah berselerak dipercayai telah dimasuki individu tidak dikenali," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, siasatan awal berdasarkan semakan CCTV mendapati seorang lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah berkenaan pada jam 9.26 pagi, 18 Februari lalu ketika tiada penghuni di rumah.
Ujarnya, suspek dipercayai menyamar sebagai wanita bagi mengelakkan perbuatannya disyaki penduduk lain di kawasan tersebut.
"Siasatan mendapati suspek memakai pakaian perempuan dengan memakai tudung dan membawa beg tangan ketika melakukan jenayah berkenaan.
"Taktik penyamaran itu dipercayai digunakan bagi memperdaya penghuni lain dan mengaburi mata orang ramai di kawasan komersial tersebut," katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun dalam kejadian itu tiada sebarang kerugian atau kehilangan barang berharga dilaporkan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034 bagi membantu siasatan," katanya.
Tambahnya, orang ramai terutamanya penduduk kawasan sekitar dinasihatkan agar memaklumkan kepada jiran atau pihak polis sendiri di balai berdekatan sekiranya meninggalkan rumah untuk bercuti.