JOHOR BAHRU – UMNO menawarkan diri sebagai payung penyatuan politik Melayu di Johor susulan pembubaran 11 Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini, yang dilihat berpunca daripada kemelut dalaman berpanjangan.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, situasi tersebut membuktikan bahawa perpecahan hanya melemahkan kekuatan politik Melayu, sekali gus menjejaskan kestabilan dan hala tuju perjuangan.
"UMNO sejak awal penubuhannya merupakan wadah utama perjuangan orang Melayu yang telah membentuk kepimpinan dan dasar negara, selain kekal relevan sebagai platform penyatuan hingga hari ini.
“UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi rumah besar kepada bangsa Melayu. Dalam landskap politik yang semakin mencabar, kesatuan adalah keperluan, bukan pilihan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu pada Rabu, sebanyak 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing susulan krisis dalaman parti yang melanda ketika ini.
Bahagian terbabit ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.
Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab Hamid, yang mewakili ketua-ketua bahagian berkenaan berkata, keputusan itu dibuat berikutan ketiadaan sebarang maklum balas jelas daripada kepimpinan parti terhadap kenyataan media yang dikemukakan pada 27 Januari lalu.
Sementara itu, Yahya mengegaskan UMNO membuka pintu kepada ahli-ahli Bersatu yang terkesan agar kembali ke wadah asal perjuangan demi memperkukuh suara politik Melayu secara kolektif dan berkesan.
Seruan itu, katanya, sejajar dengan gagasan Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menghimpunkan semula kekuatan Melayu di bawah satu kepimpinan yang stabil dan diyakini rakyat.
Justeru beliau, menggesa semua pihak agar mengetepikan perbezaan sempit, menolak politik perpecahan dan bersama-sama menyokong usaha memperkukuh kestabilan Johor demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri.