Warisan tidak akan nilai calon PRU berdasarkan kaum - Shafie Apdal

Iklan
Mohd Shafie (dua dari kiri) menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kian Kok pada Rabu.

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) tidak akan menilai calon pilihan raya berdasarkan kaum semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada keupayaan dan integriti dalam menterjemahkan aspirasi rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan sokongan terhadap Warisan bukan hanya datang daripada satu kaum tertentu, namun ia kini dilihat merentasi pelbagai komuniti termasuk Kadazandusun Murut (KDM) dan masyarakat Islam di pantai timur Sabah.

Iklan
Iklan

“Sebenarnya dalam pilihan raya lalu bukan hanya masyarakat Cina yang memberi sokongan, masyarakat KDM juga bersama kita.

“Contohnya, di kawasan seperti Inanam dan Kapayan, bukan hanya pengundi Cina, tetapi KDM turut menyokong. Begitu juga di pantai timur yang majoritinya masyarakat Islam. Ini menunjukkan sokongan kepada Warisan bersifat menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Menengah Kian Kok di sini pada Rabu.

Iklan

Mengulas sama ada Warisan akan mempertimbangkan untuk menambah calon daripada kaum Cina pada PRU akan datang susulan peningkatan sokongan masyarakat berkenaan, bekas Ketua Menteri itu berkata, pemilihan calon perlu dilihat secara lebih menyeluruh.

“Apa yang penting bagi kita bukan sekadar meletakkan calon berdasarkan kaum. Kita perlu melihat keupayaan mereka menterjemahkan harapan rakyat Sabah. Adakah mereka benar-benar pemimpin yang boleh berkhidmat?

Iklan

“Kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan wang yang mereka ada atau latar belakang suku kaum, tetapi berdasarkan apa yang telah dan mampu mereka lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menegaskan bahawa sebarang peningkatan sokongan tidak boleh dianggap sesuatu yang mudah atau bersifat automatik, sebaliknya perlu diusahakan secara konsisten.

“Mungkin kita perlu tunggu sampai waktunya. Kita juga perlu melihat dan menilai suasana serta persekitaran politik semasa. Saya yakin kali ini bukan sekadar soal peningkatan kerusi Warisan semata-mata, tetapi bagaimana kita membina keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.

“Sokongan itu tidak datang dengan sendiri. Kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Caranya ialah bekerja keras dan turun ke lapangan.

“Saya sudah lama dalam politik, saya tahu dan faham keadaannya. Pada pilihan raya lalu, saya turun ke 73 kawasan dalam tempoh empat tahun tanpa henti. Itulah usaha yang kita lakukan secara konsisten untuk mendapatkan kepercayaan rakyat,” katanya.

Untuk rekod, pada PRN17 lalu, Warisan menerima sokongan signifikan daripada masyarakat Cina apabila beberapa kerusi yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) berjaya dirampas oleh parti itu.