SHAH ALAM – Dakwaan berhubung pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Damansara sepertimana tular kebelakangan ini adalah tidak benar.
Setiausaha Bersatu Bahagian Damansara, Aliff Taufid menafikan pembubaran berlaku sambil menegaskan bahawa bahagian itu kekal berfungsi seperti biasa, bahkan ia tidak pernah dibubarkan.
Menurutnya, Ketua Bahagian Damansara, Mhd Redzuan Mohd Ali ada menyuarakan hasrat dalam satu mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini agar Bersatu Bahagian Damansara dibubarkan.
Bagaimanapun, kata Aliff, cadangan tersebut ditentang keras oleh majoriti Jawatankuasa Bahagian.
"Jawatankuasa Bahagian turut meminta agar Ketua Bahagian mempertimbangkan untuk meninggalkan parti susulan pendirian tersebut.
"Namun, beliau masih berhasrat untuk mengekalkan jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan parti akan datang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Aliff menambah, dalam satu perjumpaan Jawatankuasa Bahagian yang dihadiri lebih dua pertiga kepimpinan, satu ketetapan dibuat sebulat suara iaitu menyatakan usul tidak lagi percaya terhadap Mhd Redzuan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Damansara.
Justeru kata Aliff, Jawatankuasa Bahagian menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan pucuk pimpinan parti serta memberikan kepercayaan penuh kepada Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Damansara iaitu Muhammad Rais Abu Hasan Ashari untuk memangku jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan parti akan datang.
"Saya tegaskan sekali lagi bahawa Bersatu Bahagian Damansara tidak dibubarkan.
"Jawatankuasa Bahagian kekal seperti sedia ada, hanya tiga individu termasuk penyandang Ketua Bahagian menyokong cadangan pembubaran, selebihnya kepimpinan kekal setia bersama parti.
"Kenyataan ini dikeluarkan bagi memperjelaskan keadaan sebenar dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta masyarakat umum," ujar beliau.