KUANTAN - Keterujaan seorang lelaki menikmati wang keuntungan lebih RM1.8 juta hasil pelaburan saham yang disertai terbantut apabila diarah membuat bayaran tambahan sebagai syarat pengeluaran.
Syarat yang dikenakan itu menimbulkan kecurigaan dalam kalangan pekerja swasta berusia 57 tahun tersebut sebelum menyedari dirinya tertipu apabila skim pelaburan saham itu tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM636,123.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa tertarik dengan iklan berkaitan pelaburan saham di Facebook selepas melayari platform media sosial itu pada 3 November tahun lalu.
Menurutnya, mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelaburan saham dengan pulangan keuntungan 30 peratus dalam tempoh sebulan dengan modal permulaan minimum RM10,000.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengarahkan lelaki itu memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan menerusi WhatsApp.
“Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, mangsa telah memuat turun aplikasi tersebut dan mula membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Yahaya berkata, dalam tempoh 9 Januari 2025 hingga 11 Februari lalu, mangsa telah membuat empat transaksi pemindahan wang sebagai modal pelaburan ke dalam empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM636,123 menggunakan wang simpanan sendiri dan wang pinjaman daripada keluarga.
Katanya, selepas bayaran itu dibuat, mangsa menyemak aplikasi pelaburan yang digunakan sebelum ditunjukkan paparan keuntungan yang kononnya meningkat sehingga mencecah RM1,843,765 termasuk komisen.
“Namun malangnya, apabila mangsa ingin mengeluarkan semula wang pelaburan bersama keuntungannya, suspek telah memberikan pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum pengeluaran boleh dibuat,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
“Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” ujarnya.