ALOR SETAR - Seorang lelaki maut manakala isteri dan tiga anaknya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di jejambat Jalan Titi Kobah, Pendang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Pendang Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian pada kira-kira 11.30 malam itu menyebabkan penumpang hadapan iaitu lelaki berusia 39 tahun maut akibat kecederaan parah di kepala.
"Sebelum kejadian, MPV dipandu isteri mangsa yang berusia 36 tahun itu dalam perjalanan dari arah Pendang menghala ke Kota Sarang Semut... apabila tiba di jejambat, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa di bahagian hadapan.
"Akibat pelanggaran itu, MPV berkenaan telah terbalik dan menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk hadapan sebelum dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, isteri mangsa cedera di bahagian muka dan patah tangan kiri manakala anak perempuan mereka berusia empat tahun yang dipangku mangsa sebelum kejadian turut cedera di muka serta patah paha kanan.
"... dua lagi anak mangsa yang berada di tempat duduk belakang, iaitu anak perempuan berusia sembilan tahun patah paha kanan dan anak lelaki berusia 13 tahun patah paha kiri manakala pemandu Toyota Hilux pula cedera di bahagian pinggang serta lutut.
"Kesemua yang cedera telah dihantar ke Hospital Pendang untuk rawatan lanjut manakala mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama