SIBU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melawan arus dan bertembung dengan kenderaan sebuah kereta di Kilometer 209, Jalan Sibu-Bintulu, pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun mengalami putus kaki kiri dan parah di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Bonjface Anak Bajai berkata, kemalangan melibatkan Perodua Myvi dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
"Hasil siasatan awal, motosikal mangsa sedang bergerak melawan arus menghala ke Sibu Jaya dan bertembung dengan kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun menuju ke pusat bandar.
"Akibat pertembungan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, kenderaan terlibat mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala motosikal rosak sepenuhnya.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.