Sambut Ramadan di tengah kemusnahan

Iklan
Pengumuman Ramadan menjadi detik bersama di seluruh Palestin, meskipun berhadapan dengan suasana kemusnahan akibat konflik berpanjangan. Foto Agensi

GAZA - Pengumuman ketibaan Ramadan menyatukan rakyat Palestin dalam satu detik kebersamaan.

Namun, suasana tahun ini 'masih sama' dengan tahun-tahun sebelumnya apabila wilayah Gaza dan Tebing Barat kekal berdepan situasi keselamatan serta sekatan.

Iklan
Iklan

Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, Sheikh Mohammad Hussein mengumumkan bahawa hari Rabu menandakan permulaan Ramadan di Palestin.

Di kebanyakan negara Islam, pengumuman itu lazimnya disambut dengan pasar yang sesak, lampu hiasan yang menerangi jalan serta keluarga yang membuat persiapan juadah berbuka puasa.

Iklan

Bagaimanapun di Gaza, bulan suci bermula dalam keadaan kemusnahan akibat konflik berpanjangan.

Sebahagian besar kawasan kejiranan di Gaza musnah selepas berbulan-bulan pengeboman oleh rejim Israel.

Iklan

Keluarga yang sebelum ini pernah berbuka di meja penuh hidangan kini menyusun rutin puasa mereka berdasarkan jadual agihan bantuan kemanusiaan.

Kebanyakan keluarga Palestin menyambut Ramadan dalam suasana yang penuh mencabar. Foto Agensi

Zahra Abdel Raouf, ketika ditemu bual Program Makanan Sedunia, mengimbau Ramadan terdahulu apabila anak-anaknya berkumpul menikmati pelbagai masakan di rumah.

Kini, keluarganya tinggal di dalam khemah selepas kediaman mereka musnah, dan makanan diperoleh melalui dapur bantuan.

Sebuah pusat pengagihan makanan berhampiran yang menyediakan nasi, kacang, lobak merah dan bijiran gandum menjadi talian hayat mereka.

Menurut Abdel Raouf, keluarganya sering berjalan jauh untuk mendapatkan makanan dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong.

Dia menggambarkan keadaan itu sebagai 'bertahan dengan apa sahaja yang ada'.

Sebelum ini, kanak-kanak menantikan manisan dan tanglung Ramadan. Kini, mereka menunggu giliran dalam barisan bantuan.

Ramai ibu bapa tidak dapat bekerja, pakaian diperoleh melalui sumbangan jiran, manakala bekalan roti — jika ada — tidak mencukupi untuk keluarga besar. Daging hampir tidak lagi menjadi hidangan harian.

Agensi kemanusiaan melaporkan sebahagian keluarga berbuka puasa dengan makanan yang amat terhad serta bekalan air bersih yang minimum. Juadah sahur selalunya hanya teh dan roti — bukan kerana nilai pemakanan, tetapi kerana keterpaksaan.

Perhiasan Ramadan dinaikkan di kem pelarian Bureij, Gaza Tengah. Foto AFP

Nilai kerohanian kekal utuh

Semangat kerohanian masyarakat Gaza tetap utuh. Di kem dan penempatan sementara, keluarga memasak menggunakan api terbuka di celah bangunan rosak. Ketika azan Maghrib berkumandang merentasi runtuhan, penduduk duduk bersama berkongsi apa sahaja yang ada.

Penduduk turut menghias jalan dan kediaman yang rosak dengan tanglung buatan tangan serta bahan kitar semula supaya kanak-kanak masih dapat merasai suasana Ramadan.

Sukarelawan melukis mural pada dinding yang retak dan menggantung lampu di lorong-lorong sempit.

Dengan banyak masjid musnah, solat berjemaah dilakukan di kawasan terbuka atau halaman bangunan. Walaupun kegembiraan yang lazimnya menyelubungi Ramadan semakin pudar, ibadah puasa dan majlis berbuka tetap diteruskan sebagai lambang ketabahan.

Penduduk Palestin mengukir ukiran pasir bertulis 'Selamat Datang, Ramadan' di tepi pantai Khan Yunis, Gaza Selatan. Foto AFP

Di Tebing Barat yang diduduki, Ramadan bermula dalam suasana kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.

Menurut laporan akhbar Ibrani Haaretz, tentera Israel mengerahkan batalion tambahan serta unit khas menjelang bulan suci dengan alasan keselamatan.

Akses ke Masjid Al-Aqsa, yang menjadi tumpuan ibadah Ramadan, akan dikenakan sekatan ketat.

Dalam kesukaran itu, ketibaan Ramadan tahun ini tetap menyatukan Palestin dalam satu detik yang sama. Apa yang kekal tidak berubah ialah tekad untuk terus berpuasa dan beribadah.- Agensi