38 pelombong maut dalam letupan gas di Nigeria

Iklan
Anggota keselamatan telah dikerahkan untuk menutup kawasan tapak tersebut

ABUJA - Sekurang-kurangnya 38 orang maut dan ramai lagi cedera susulan letupan gas di sebuah tapak perlombongan plumbum di Negeri Plateau, tengah Nigeria, kata pegawai tempatan pada Rabu, lapor Xinhua.

Insiden itu berlaku pada pagi Rabu di sebuah tapak yang dikendalikan oleh Solid Mining Company di komuniti Zurak dalam Kawasan Kerajaan Tempatan Wase yang menjejaskan sebahagian besar pelombong yang bekerja di bawah tanah.

Iklan
Iklan

Laporan awal menunjukkan bahawa pengumpulan gas toksik yang dipercayai karbon monoksida telah mencetuskan letupan di dalam terowong bawah tanah semasa waktu puncak operasi.

Pihak berkuasa suku tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai"malapetaka". Aliyu Adamu Idris, pemangku ketua daerah, memberitahu media tempatan bahawa kebanyakan mangsa merupakan lelaki muda berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Iklan

"Ia adalah hari yang gelap bagi komuniti kami. Kami telah kehilangan 38 belia yang bertenaga dalam tragedi ini, meninggalkan banyak keluarga dalam kesedihan," kata Idris.

Jurucakap polis di Plateau, Alfred Alabo berkata, anggota keselamatan telah dikerahkan untuk menutup kawasan tapak tersebut sementara pihak berkuasa memuktamadkan taklimat terperinci mengenai insiden itu.

Iklan

Media tempatan memetik sumber perubatan, melaporkan kira-kira 27 orang sedang menerima rawatan kerana mengalami gangguan pernafasan yang teruk dengan kebanyakan mangsa yang selamat menderita akibat terhidu asap toksik secara akut. - Bernama