Bayi maut selepas ambulans lewat tiba kerana jalan rosak

Iklan
Wanita itu ditandu penduduk kampung bagi mencari bantuan. Foto Agensi

JAKARTA - Tragedi menyayat hati menimpa pasangan muda di Desa Tanjungsari, Kecamatan Jampangtengah, Kabupaten Sukabumi apabila bayi mereka meninggal dunia akibat kelewatan mendapatkan bantuan perubatan.

Kejadian berlaku pada 4 Februari lalu, apabila jalan menuju rumah mereka yang rosak teruk menyukarkan akses ambulans ke lokasi.

Iklan
Iklan

Fitri Andriayani, 26, terpaksa melahirkan di rumah kerana tiada kenderaan perubatan dapat melalui jalan berlumpur dan licin sepanjang kira-kira 30 kilometer itu.

Penduduk kampung kemudian bergotong-royong menandu ibu dan bayi ke lokasi yang lebih selamat untuk diambil kenderaan bagi dibawa ke hospital.

Iklan

Suaminya, Ujang Suryana, 33, berkata, bayinya hanya sempat bertahan selama satu jam selepas dilahirkan.

“Lahir jam 11 pagi waktu tempatan, meninggal jam 12 tengah hari. Saya sudah cuba cari ambulans atau kenderaan lain, tetapi kerana jalan tidak boleh dilalui, bantuan sampai terlalu lambat,” ujarnya.

Iklan

Penduduk setempat memberitahu keadaan jalan itu telah rosak lebih daripada 20 tahun tanpa sebarang pembaikan signifikan.

Setiap musim hujan, laluan menjadi licin dan hampir mustahil dilalui, termasuk oleh motosikal.

Dalam situasi kecemasan, menandu pesakit menjadi satu-satunya pilihan untuk mencapai titik pengangkutan yang boleh diakses kenderaan.

Keluarga Ujang menekankan keperluan segera perhatian kerajaan terhadap infrastruktur di kawasan pedalaman bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.

“Jangan sampai kejadian seperti ini berlaku lagi. Cukuplah kami yang merasainya,” kata Ujang dengan sebak.- Agensi