12 maut dalam letupan kedai bunga api di China

Iklan
Kejadian letupan kedai bunga api telah meragut 12 nyawa di tengah China. Foto: ihsan Agensi

HUBEI - Seramai 12 orang dilaporkan terbunuh dalam satu letupan di sebuah kedai bunga api di perbandaran Zhengji, bandar Xiangyang pada Rabu.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Lunar.

Iklan
Iklan

Laporan menyatakan kebakaran itu tercetus selepas letupan merebak ke seluruh premis, namun berjaya dipadamkan dalam tempoh sejam.

Siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan.

Iklan
Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Lunar di sebuah taman tema luar Beijing, China. Foto: AP

Terdahulu, kejadian sama turut berlaku hingga mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan dua yang lain di Lianyungang, wilayah Jiangsu pada Ahad.

Pihak berkuasa menyalahkan kejadian itu berpunca daripada pengendalian bunga api yang tidak selamat dan menahan beberapa individu untuk siasatan.

Iklan

Secara tradisi, bunga api dan mercun dinyalakan di seluruh China sepanjang sambutan Tahun Baharu Lunar sebagai simbol menyambut kemakmuran, tuah serta menghalau roh jahat.

Namun, sejak beberapa tahun lalu, banyak wilayah dan bandar mengenakan sekatan malah larangan penuh atas faktor keselamatan dan kualiti udara.

Pasukan keselamatan berada di tempat kejadian letupan kedai bunga api di Zhengji. Foto: ihsan Handout

Dalam masa sama, beberapa bandar telah menarik balik larangan tersebut kebelakangan ini dan beralih kepada pengurusan secara terkawal.

Pada Isnin, Kementerian Pengurusan kecemasan menggesa semua wilayah mengambil iktibar daripada letupan di Jiangsu serta memperketat pengawasan terhadap industri bunga api.

Kementerian itu menegaskan pegawai perlu menjalankan penilaian menyeluruh terhadap risiko keselamatan sebagai langkah awal.

Menurutnya, pemantauan berterusan dan tahap kewaspadaan tinggi perlu dikekalkan bagi memastikan keselamatan di seluruh negara sepanjang tempoh perayaan.