KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan mengarahkan seorang wanita yang bernikah lelaki warga Pakistan ketika masih sah bergelar isteri menjalani mufaraqah bagi merungkai kekusutan status perkahwinannya.
Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan difailkan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Islam Daerah Kota Bharu, Naim Md Ghazali
Menurut Naim, wanita itu Che Rosmizan telah berkahwin dengan suami pertamanya Rosman Yusof, 47, pada 22 September 2000 mengikut carian Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (e-Nikah) dan hanya disahkan bercerai secara rasmi pada 14 Januari lalu di Mahkamah Syariah Bachok.
Katanya, sebelum perceraian dimuktamadkan, wanita berkenaan didapati telah melangsungkan pernikahan dengan lelaki warga Pakistan pada 8 Disember lalu di Mukim Bunut Payong.
"Ketika itu perkahwinan pertamanya masih sah di sisi undang-undang.
"Keadaan ini jelas bertentangan dengan hukum syarak kerana seorang wanita tidak dibenarkan mempunyai dua suami dalam satu masa.
"Selain menimbulkan kekeliruan terhadap rekod perkahwinan dan implikasi undang-undang,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Naim berkata, beliau telah memohon mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai.
Katanya, tindakan itu bertujuan menyelesaikan status perkahwinan berkenaan mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada Rabu lalu selepas mendakwa isterinya telah berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih sah sebagai suami isteri.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohd Ismail Jamaluddin ketika dihubungi pada Ahad.