KOTA BHARU - Tujuh daerah di Kelantan dikenal pasti sebagai kawasan kritikal yang berdepan masalah gangguan bekalan air.
Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, jajahan yang terlibat ialah Pasir Mas, Tumpat, Machang, Bachok, Kota Bharu dan beberapa jajahan lain.
"Langkah segera telah diambil oleh AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd) bagi mengurangkan beban penduduk di kawasan terlibat dengan menghantar 16 buah lori tangki.
"Lori ini akan menghantar bekalan ke tangki-tangki statik untuk memudahkan pengguna. Inisiatif ini disokong geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM6.7 juta untuk tempoh dua tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Bersama Media Kelantan di sini pada Ahad malam.
Menurut beliau, walaupun bersifat penyelesaian sementara, sekurang-kurangnya penduduk tidak terputus bekalan sepenuhnya.
Saizol menjelaskan, bagi penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri kini melaksanakan 34 projek berkaitan bekalan air merangkumi pembinaan dan naik taraf Loji Rawatan Air (LRA), penambahan kapasiti sistem agihan serta penggantian paip lama.
Katanya, setakat ini, 13 projek telah siap, sembilan dalam pembinaan, 16 di peringkat reka bentuk dan sembilan lagi dalam perancangan.
“Kebanyakan projek dijangka siap menjelang 2028 dan dua projek berskala besar pada 2030.
"Apabila keseluruhan projek ini disiapkan, isu bekalan air yang sekian lama membelenggu rakyat Kelantan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.
Dalam masa sama, Saizol memberitahu, usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) turut dipergiat dengan penggantian paip lama hampir 4,000 kilometer secara berperingkat.
"Lebih 200 kilometer paip usang telah diganti setakat ini, dengan fokus utama diberikan di Kota Bharu yang merekodkan jumlah paip lama tertinggi.
"Kerajaan negeri optimis pendekatan bersepadu itu mampu meredakan keresahan rakyat, khususnya di tujuh daerah kritikal, sekali gus memulihkan sistem bekalan air Kelantan secara menyeluruh menjelang 2030," katanya.