KOTA BHARU - Polis Kelantan terpaksa menghadkan pengeluaran permit jualan bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri khususnya di daerah ini apabila ramai peniaga mengeluh tidak mendapat keuntungan pada tahun lalu ekoran terlalu ramai yang menjual barangan terbabit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, di samping itu ia juga bagi memudahkan pengawalan dijalankan.
Iklan
Iklan
"Setakat ini, proses permohonan permit untuk Aidilfitri masih belum dibuka kepada umum. Namun kali ini kita akan kawal sedikit selepas menerima rungutan daripada peniaga susulan sebanyak 176 permit diluluskan tahun lalu di Kota Bharu.
“Mungkin tahun ini antara 80 hingga 100 permit sahaja akan diluluskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Pemakaian Pangkat Anggota di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Menurut beliau, dalam pada masa yang sama satu pasukan khas akan diwujudkan untuk memantau penjualan mercun dan bunga api.
Ujarnya, Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan berkaitan penjualan barangan tersebut.
Mohd Yusoff memberitahu, bagi sambutan Tahun Baharu Cina pula, sebanyak 45 permit menjual mercun dan bunga api telah diluluskan.