KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan meluluskan cadangan menjenamakan semula Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) kepada Tourism Kelantan bagi memperkukuh peranan dan imej agensi itu sebagai peneraju utama industri pelancongan negeri.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lalu.
Menurut beliau, penjenamaan semula itu penting memandangkan fungsi sebenar TIC kini jauh lebih luas berbanding sekadar menyediakan perkhidmatan kaunter maklumat.
“TIC sebelum ini dilihat sebagai pusat penerangan semata-mata, sedangkan peranannya merangkumi pelaksanaan program, penyelarasan acara, promosi serta menjadi agensi pelaksana utama sektor pelancongan negeri.
“Justeru kerajaan bersetuju menjenamakan semula kepada Tourism Kelantan supaya lebih setara dengan negeri-negeri lain seperti Tourism Melaka, Tourism Johor dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni Tahun 2025, di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Tourism Kelantan, Mohd Azwan Ab Rahman.
Kamarudin menjelaskan, Tourism Kelantan itu akan kekal sebagai pusat penerangan dan struktur pentadbiran baharu akan disusun secara berperingkat termasuk cadangan pewujudan enakmen serta badan berautoriti khusus bagi memperkukuh tadbir urus pelancongan negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri turut merangka pelan tindakan menyeluruh termasuk memanfaatkan projek infrastruktur besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan rangkaian jalan baharu bagi merancakkan sektor pelancongan.
Katanya, antara fokus baharu ialah memperkasa pelancongan kesihatan dengan menyasarkan pasaran Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
“Kita ada hospital swasta dengan kepakaran setanding hospital besar di pantai barat, tetapi kos rawatan lebih rendah, ini satu kelebihan kompetitif untuk kita promosikan.
“Pesakit bukan sahaja datang mendapatkan rawatan, malah menginap di hotel, menggunakan pengangkutan tempatan dan berbelanja di negeri ini,” ujarnya.
Selain itu, Kamarudin berkata, kerajaan negeri juga mahu menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi berbanding golongan ‘backpackers’ yang kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
“Kami alu-alukan semua pelancong, tetapi kami mahu lebih ramai yang berbelanja lebih banyak sepanjang berada di Kelantan.
“Itu yang memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu berbuka puasa secara santai di tepi sungai Kelantan dan pekarangan masjid negeri, Masjid Muhammadi dijangka terus menjadi antara tarikan utama selain Madinah Ramadan sepanjang Ramadan tahun ini.
Menurut beliau, suasana berbuka di kawasan berhampiran Masjid Muhammadi memberi pengalaman unik seolah-olah berada di Madinah pada bulan Ramadan.
“Masjid Muhammadi ini ada auranya tersendiri.
“Orang yang pernah berbuka puasa di Madinah, apabila duduk di sini, mereka rasa suasananya hampir sama,” katanya.