Berjasa nafi dakwaan Hamzah bakal ambil alih parti

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung Hamzah dikait ambil alih Berjasa - Gambar kecil (Mohd Hamdan)

SHAH ALAM - Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) menafikan dakwaan kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpotensi mengambil alih parti itu susulan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangannya, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata, parti itu kekal utuh di bawah kepimpinan Majlis Kepimpinan Tertinggi yang dipilih dan dilantik secara sah menurut Perlembagaan parti.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tiada sebarang perbincangan rasmi atau pertemuan khusus berhubung dakwaan berkenaan setakat ini.

"Namun demikian, Berjasa sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memperkukuh agenda kesatuan dan penyatuan Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Sinar Harian melaporkan bekas Ketua Sayap Bersatu, Datuk Dr Chong Fatt Full menjangkakan Hamzah berpotensi mengambil alih Berjasa sebagai wadah politik baharu.

Katanya, jangkaan itu dibuat berdasarkan situasi politik semasa yang tidak memberi banyak ruang kepada Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, terutama ketika negara menghampiri siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Iklan

Tambah Mohd Hamdan, Berjasa bersifat terbuka kepada mana-mana individu dan pihak yang ingin bersama dalam perjuangan parti itu.

"Ia demi mendaulatkan negara serta mengangkat martabat anak bangsa sebagaimana yang sudah sedia digariskan dalam kerangka Impian Nasional Berjasa 2040.

"Bagaimanapun, sebarang permohonan hendaklah melalui proses dan prosedur keahlian yang ditetapkan menurut Perlembagaan parti," ujarnya.

Katanya lagi, Berjasa akan terus komited terhadap sasaran dan agenda penyatuan Melayu serta perjuangan nasional.

"Ia merangkumi pengukuhan perpaduan dan identiti nasional, reformasi politik dan kepimpinan negara, pemerkasaan ekonomi dan sara hidup rakyat, pembangunan pendidikan dan modal insan, serta penguasaan sains dan teknologi, selain alam sekitar yang lebih mandiri dan kedaulatan digital negara.

"Berjasa kekal teguh dengan prinsip, perjuangan dan hala tuju yang telah digariskan demi masa depan negara yang lebih unggul, berdaulat dan bermaruah," jelas Mohd Hamdan.