JOHOR BAHRU -"Biarkan mereka bergaduh dahulu."
Demikian kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai krisis dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini termasuk pemecatan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebelum itu, Anwar hadir Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di Pulai Spring Resort, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha MPN PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti tersebut.
Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini.
Ditanya mengenai keperluan ketua pembangkang Parlimen, Anwar enggan memberikan komen sebelum menaiki kereta untuk bergerak ke program seterusnya di Pontian.
Ditanya mengenai perjumpaan dengan PKR Negeri Johor, Anwar berkata, ia bertujuan bagi menyampaikan amanat gerak kerja yang akan digerakkan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada tahun ini.
"(Setiap cabang) Perlu kerja kuat, kerja kuat sebagai satu pasukan," katanya.