KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu melancarkan Projek Rintis Struktur Tiang Pintar 5G (Intelligent Pole – IP) di pekarangan Pasar Kedai Payang sebagai langkah memperkukuh agenda pendigitalan negeri.
Inisiatif itu dilihat sejajar usaha mempercepatkan transformasi digital serta memacu pembangunan infrastruktur bandar pintar menjelang 2040.
Exco Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek rintis berkenaan merupakan fasa penting bagi melaksanakan pengesahan teknikal terhadap aspek keberkesanan kos dan kestabilan sistem sebelum diperluaskan secara berskala besar.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memastikan setiap pelaburan teknologi memberi pulangan nilai (Return on Value - RoV) yang jelas, khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mempertingkat kecekapan pengurusan bandar.
"Data yang diperoleh sepanjang tempoh rintis ini akan dianalisis secara menyeluruh bagi menilai tahap keberkesanan serta kesesuaian pelaksanaannya di lokasi lain pada masa hadapan.
"Langkah ini selaras dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai hab teknologi hijau dan bandar pintar mampan menjelang 2040," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Struktur Tiang Pintar 5G di Pasar Payang 1 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat serta Pengerusi Eksekutif Colla Connecting Edge Sdn Bhd, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim.
Projek tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Colla Connecting Edge Sdn Bhd di bawah kerangka Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu 2040 yang memberi fokus kepada pembangunan Infrastruktur Digital Pintar.
Sementara itu, Amirul Rahman berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memodenkan infrastruktur bandar menerusi integrasi teknologi pintar dan memperkukuh ketersambungan digital.
Katanya, Struktur Tiang Pintar (IP) yang diperkenalkan bukan sekadar berfungsi sebagai tiang lampu jalan, sebaliknya berperanan sebagai hab integrasi digital yang menyokong ekosistem bandar pintar secara menyeluruh.
"Menerusi projek rintis ini, tiang lampu sedia ada yang bersesuaian dinaik taraf menjadi aset pintar yang dilengkapi sensor Internet Benda (IoT), capaian 5G serta sistem pemantauan berpusat," katanya.
Beliau berkata, antara ciri utama termasuk penyamaran peralatan telekomunikasi bagi mengekalkan estetika bandar, sistem pencahayaan pintar yang lebih menjimatkan tenaga elektrik serta CCTV pintar dengan teknologi pengecaman wajah dan pemantauan masa nyata bersudut 360 darjah.
Tiang Pintar itu turut menyediakan paparan pengiklanan digital bagi menyalurkan maklumat rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT), selain dilengkapi sensor cuaca serta sistem pengesanan pencemaran udara secara masa nyata.
Selain itu, kemudahan butang panggilan kecemasan membolehkan orang ramai berhubung terus dengan talian perkhidmatan kecemasan, manakala stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang disediakan menyokong agenda teknologi hijau negeri.
Pelaksanaan projek rintis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem bandar pintar yang mampan, inklusif dan berteraskan teknologi tinggi.