Jarum ditemui dipercayai hanyut, bukan bukti penagihan – AADK

Iklan
Anggota AADK dan pihak berkuasa memeriksa kawasan yang didakwa menjadi lokasi tumpuan penagih dadah.

KUALA NERUS – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu menafikan dakwaan bahawa kawasan Pantai Kubang Badak berhampiran tapak perkhemahan yang tular di media sosial sejak Sabtu menjadi lokasi aktiviti penagihan dadah.

Pengarahnya, Arzmi Abdullah berkata, hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati kawasan itu merupakan lokasi terbuka yang sering dikunjungi orang ramai untuk beriadah, berkelah dan berkhemah, khususnya pada waktu petang serta hujung minggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, maklumat diperoleh daripada seorang pengusaha kedai makan yang beroperasi hampir 24 jam di kawasan berkenaan mengesahkan tiada sebarang aktiviti penagihan dadah berlaku di situ.

"Beliau sendiri bersedia untuk ditemu bual bagi membuktikan kawasan tersebut bebas daripada sebarang kegiatan tidak sihat," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Iklan

Perkara itu sebelum ini tular apabila seorang pengguna media sosial memuat naik penemuan beberapa jarum suntikan dipercayai milik penagih dadah sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai, terutama berkaitan risiko jangkitan HIV kepada pengunjung pantai itu.

Mengulas lanjut, Arzmi menjelaskan pemeriksaan mendapati jarum suntikan boleh ditemui di sepanjang kawasan pantai berkenaan dan bukan tertumpu di lokasi yang ditularkan sahaja.

Iklan

Katanya, jarum-jarum tersebut dipercayai hanyut dari laut dan berkemungkinan digunakan oleh nelayan tempatan atau dari pulau berhampiran.

"Pegawai risikan turut membawa pulang beberapa unit jarum yang didapati sudah lusuh dan dipercayai jarum lama.

"Berdasarkan pemerhatian awal, tiada petunjuk jelas menunjukkan kawasan itu dijadikan lokasi penagihan," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan memanjangkan gambar serta maklumat berkaitan penemuan jarum berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut termasuk kerja pembersihan.

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan Operasi Bersepadu (OMNI) akan terus dipertingkatkan di kawasan terbabit sebagai langkah pencegahan dan pemantauan berterusan.