KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melakar sejarah apabila melancarkan Sistem Pengurusan Peguam Syarie sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Negeri Terengganu 2026 dan Penyampaian Sijil Amalan Peguam Syarie Negeri Terengganu bagi tahun 2026.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Ali berkata, sistem berkenaan dibangunkan sebagai platform rasmi bagi urusan permohonan pendaftaran sebagai Peguam Syarie serta pembaharuan Sijil Amalan Guaman Syarie di negeri ini.
Menurutnya, sistem itu merupakan yang pertama seumpamanya diperkenalkan dan diguna pakai di Malaysia, sekali gus meletakkan Terengganu sebagai perintis dalam pendigitalan pengurusan guaman syarie.
"Sistem Pengurusan Peguam Syarie ini dibangunkan sepenuhnya secara dalam talian bagi memudahkan dan melancarkan urusan permohonan menjadi Peguam Syarie serta pembaharuan sijil amalan guaman syarie di Terengganu.
"Sebelum ini, semua permohonan dibuat secara manual melalui penghantaran borang kepada MAIDAM,"katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau berkata, melalui sistem itu, pemohon boleh membuat permohonan, menyemak status, mendapatkan keputusan temu duga serta mengakses maklumat berkaitan pentauliahan dan pengisytiharan masuk sebagai Peguam Syarie di negeri ini.
Jelasnya, pelaksanaan sistem berkenaan bukan sahaja mempercepatkan proses kerja malah memperkenalkan kaedah pengurusan tanpa kertas (paperless) yang lebih sistematik dan efisien.
"Ia turut menjimatkan penggunaan kertas, tenaga kerja dan kos pentadbiran jabatan, selain menyokong amalan tadbir urus mampan serta memelihara alam sekitar," ujarnya.
Tambah beliau, pelaksanaan sistem itu diharap dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus perundangan syariah serta menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain dalam usaha pendigitalan perkhidmatan berkaitan guaman syarie.
Majlis anjuran MAIDAM dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTR) itu sebagai simbolik permulaan tahun baharu badan kehakiman dan profesion undang-undang syariah di negeri ini.
Program julung kali diadakan tersebut sebagai komitmen berterusan institusi kehakiman syariah dalam memperkukuh integriti, tadbir urus serta penyampaian keadilan yang telus dan berwibawa.
Dengan motto Transformasi Baharu Mahkamah Syariah Terengganu Menuju 2030, majlis tersebut mencerminkan iltizam bersama JKSTR dan MAIDAM dalam memperkasa sistem perundangan syariah demi kesejahteraan ummah.
"Sebagai rakan strategik Mahkamah Syariah, MAIDAM turut memainkan peranan penting dalam menyokong pentadbiran dan pengurusan Peguam Syarie Negeri Terengganu.
"Selain mengurus hal ehwal Islam melibatkan zakat, wakaf, baitulmal dan masjid, MAIDAM juga berperanan menyokong penguatkuasaan undang-undang, membantu kelancaran proses kehakiman melalui penyediaan prasarana dan sokongan pentadbiran serta terlibat secara langsung dalam pengambilan dan pengurusan Peguam Syarie negeri ini,"ujarnya.
Pada majlis sama, seramai 18 Peguam Syarie baharu Negeri Terengganu menerima Sijil Amalan selepas memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Penyerahan sijil berkenaan melambangkan pengiktirafan rasmi terhadap kelayakan profesional mereka serta amanah besar dalam menegakkan keadilan berlandaskan hukum syarak.
Turut diadakan sesi Executive Talk bertajuk 'Cabaran Akauntabiliti Guaman Syarie di Era Media Baharu' yang disampaikan oleh panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu sebagai platform memperkukuh profesionalisme, integriti dan akauntabiliti dalam kalangan Peguam Syarie.
Penganjuran program itu antara lain bertujuan mengangkat imej institusi kehakiman syariah Negeri Terengganu, memperkukuh kerjasama strategik antara JKSTR dan MAIDAM serta meningkatkan kefahaman berkaitan etika dan tadbir urus profesional dalam sistem perundangan syariah negeri.