KUALA NERUS – Kepelbagaian kemahiran dan komitmen berterusan dalam memperkasa wanita melayakkan isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, 57, menerima Anugerah Wanita Inspirasi sempena Sambutan Terengganu Hijab Day.
Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Azmi Mohd Daham sempena majlis yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini pada Khamis.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, pemilihan Tuan Faizah dibuat berdasarkan sumbangan dan penglibatan aktif beliau dalam membangunkan potensi wanita di negeri ini sejak sekian lama.
Menurutnya, Tuan Faizah bukan sahaja mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan, masakan, pertanian dan seni lukis, malah turut berkongsi kepakaran tersebut dengan masyarakat.
"Beliau turun padang mengajar jahitan, menggalakkan wanita untuk bertani dan kini bergerak ke setiap daerah bagi berkongsi kemahiran masakan.
"Kepakaran itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk manfaat wanita Terengganu," katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan berkenaan diharap menjadi pencetus semangat kepada golongan wanita untuk terus memperkasa diri, keluarga dan komuniti setempat.
Selain Tuan Faizah, turut menerima pengiktirafan ialah Tengku Fathimah Tengku Hashim, 37, dari Marang yang dinobatkan sebagai Pendakwah Muda serta Wan Siti Mariam Wan Mahyudin, 29, menerima Anugerah Ikon Hijab.