SHAH ALAM - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin melalui Lembaga Disiplin (LD) dibuat berlandaskan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan, lembaga itu telah menjalankan tanggungjawabnya mengikut Fasal 22 Perlembagaan parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
"LD telah menjalankan tanggungjawabnya dengan wajar dan mengikut peruntukan Fasal 22 Perlembagaan Parti serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli apabila memecat Hamzah berikutan tindakan beliau bertentangan perlembagaan parti.
"Beliau gagal sebagai Timbalan Presiden parti menghalang tindakan pelanggaran perlembagaan dan disiplin oleh pengikut-pengikutnya secara berulang sehingga merosakkan imej serta institusi parti.
"LD menyatakan secara ringkas bahawa Hamzah dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu iaitu 'Mematuhi Perlembagaan Parti serta Peraturan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti," katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam hantaran sama, beliau turut merujuk beberapa peruntukan Perlembagaan Bersatu termasuk Fasal 22.1 yang menyentuh kewajipan taat setia kepada parti dan kepimpinan, mematuhi keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta memelihara kepentingan imej parti.
Sebagai Timbalan Presiden, Ketua Pembangkang dan Ahli MPT, beliau menegaskan, Hamzah memikul tanggungjawab fidusiari tertinggi untuk memastikan kestabilan organisasi serta menghalang sebarang pelanggaran disiplin dalam kalangan ahli bawahan.
"Oleh itu, kegagalan bertindak Datuk Seri Hamzah boleh membentuk kesalahan disiplin setara dengan tindakan aktif," katanya.
Tun Faisal turut mendakwa wujud corak tindakan berulang yang dikaitkan dengan penyokong Hamzah, termasuk sidang media dan siaran langsung di media sosial sejak tahun lalu yang menurutnya menimbulkan perpecahan dalam parti.
Menurutnya, kesemua tindakan tersebut berfokus kepada jawatan dan kedudukan Hamzah dalam parti dan Perikatan Nasional (PN) serta dilaksanakan oleh penyokongnya dengan cara melanggar Perlembagaan parti serta bertentangan keputusan PAT dan MPT.
"Segala kenyataan dan tindakan oleh penyokong-penyokong Datuk Seri Hamzah bukan sekadar perbezaan pandangan politik sebaliknya pelanggaran perlembagaan dan disiplin yang berat.
"Dalam konteks disiplin parti, pembiaran oleh pemegang jawatan tertinggi yang membawa kesan institusi adalah satu pelanggaran serius. Sebarang kenyataan awam oleh seorang Timbalan Presiden dan Ketua Pembangkang membawa pemberat yang jauh lebih tinggi berbanding ahli biasa, khususnya apabila dibuat di platform nasional.
"Pada waktu sama, keseluruhan tingkah laku pembiaran ini menunjukkan satu corak yang berulang, sistemik dan menjejaskan autoriti Presiden, Institusi parti dan Institusi Presiden serta keputusan tertinggi parti. Ia juga menjejaskan sedikit sebanyak sokongan terhadap parti dan PN," katanya.