'Pas terbuka terima sesiapa sahaja' - Takiyuddin

Iklan
Takiyuddin

KOTA BHARU – Pas terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk bekas pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai parti berkenaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyertaan ke dalam Pas perlu melalui proses biasa dan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pas Pusat.

Iklan
Iklan

“Umumnya, kami menerima sesiapa sahaja untuk menjadi ahli Pas dan terserah kepada kelulusan Jawatankuasa Pas Pusat.

“Isu ini bagaimanapun tidak timbul setakat ini kerana tiada apa-apa permohonan daripada rakan-rakan kita yang berkenaan,” katanya selepas merasmikan Klinik Hayat 24 Jam Cherang di sini pada Sabtu.

Iklan

Takiyuddin berkata, Pas juga tidak membuat sebarang tawaran kepada mana-mana pihak.

“Kita tidak membuat tawaran, sebaliknya terserah kepada mereka,” katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, individu yang dipecat daripada Bersatu masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan berdasarkan peruntukan parti berkenaan.

Takiyuddin (kiri) melawat ke Klinik Hayat 24 Jam Cherang pada Sabtu.

“Mereka ada hak untuk merayu dan proses itu belum selesai. Keadaan mungkin berubah bergantung kepada keputusan rayuan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kemelut dalaman Bersatu memberi kesan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN), beliau mengakui situasi itu sedikit sebanyak memberi impak.

“Bukan hanya dalam Bersatu, jika mana-mana parti dalam PN mempunyai masalah dalaman, sedikit sebanyak akan memberi kesan.

“Justeru, diharapkan Bersatu dan parti-parti lain dalam PN berada dalam keadaan stabil kerana jika sebaliknya, gabungan dianggap tidak stabil dan orang akan berkata macam-macam,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat keahlian mereka oleh Lembaga Disiplin parti.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi notis bertajuk Makluman Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Laporan Pelanggaran Perlembagaan.