[VIDEO] Tiada perbincangan ganti posisi Ketua Pembangkang - Azmin Ali

Iklan

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada perbincangan setakat ini berkaitan memilih calon Ketua Pembangkang baharu, menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Mesyuarat Khas MPT di kediaman Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu hanya menyentuh mengenai langkah untuk memperkukuh parti di samping mengambil kira cadangan penambahbaikan daripada pimpinan Bersatu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akan meneliti kedudukan Hamzah kerana mengikut keputusan Lembaga Disiplin parti pada Jumaat, hak-hak keahliannya juga dilucutkan.

Atas dasar itu, jelasnya, terserah kepada Hamzah sama ada ingin mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemecatan atau sebaliknya.

Iklan

"Beliau berhak kemuka rayuan dan terpulang kepada Lembaga Rayuan Bersatu untuk mempertimbangkannya.

"Tidak.... kita tak putuskan lagi (kedudukan Hamzah)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Bukit Damansara selepas Mesyuarat Khas MPT Bersatu yang berlangsung di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini pada Sabtu.

Iklan

Ditanya lebih lanjut mengenai dakwaan reputasi Bersatu yang kini dilihat buruk di mata masyarakat, beliau menegaskan bahawa parti tidak melihat perkara itu sebagai satu kelemahan.

MOHAMED AZMIN

Sebaliknya, menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada proses kematangan yang perlu dilalui mana-mana parti politik.

“Selepas sembilan tahun parti ini dibina, sudah tentu ada pindaan dan perubahan yang perlu dilakukan. Semua parti politik melalui proses yang sama,” kata beliau.

Bagaimanapun, tegasnya lagi, pemecatan beberapa pimpinan kanan parti pada Jumaat bukan penamat, sebaliknya dianggap sebagai proses 'pendewasaan' untuk memperkukuhkan hala tuju parti menjelang cabaran politik akan datang.

“Ini satu mesyuarat khas MPT untuk membincangkan apakah langkah-langkah seterusnya bagi memperkukuhkan parti.

"Alhamdulillah, banyak cadangan diterima daripada ahli-ahli MPT dan semuanya akan diperincikan supaya kita dapat terus maju ke hadapan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu lagi.