TMM2026: Maritim Malaysia perkukuh pemantauan di kawasan pelancongan, aktiviti laut

Iklan
Sepanjang 2025, Maritim Malaysia telah mengendalikan sebanyak 256 operasi mencari dan menyelamat melibatkan 1,930 mangsa. Foto: Maritim Malaysia

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi tumpuan khusus di kawasan pelancongan maritim termasuk pulau-pulau peranginan, perairan pantai, laluan feri dan bot penumpang serta lokasi aktiviti rekreasi laut sebagai langkah kesiapsiagaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebagai agensi utama penguatkuasaan undang-undang maritim serta operasi mencari dan menyelamat, pihaknya memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa yang menjalankan aktiviti di perairan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Maritim Malaysia berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan semua aktiviti pelancongan maritim dapat dilaksanakan dengan selamat, terkawal dan mematuhi piawaian keselamatan.

"Namun, tanggungjawab keselamatan di laut bukan terletak sepenuhnya di bahu Maritim Malaysia, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak termasuk pengusaha bot, agensi pelancongan serta individu yang terlibat dalam aktiviti di laut.

Iklan

“Pematuhan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan, membawa kit kecemasan serta Personal Locator Beacon (PLB), penggunaan bot yang berdaftar dan selamat selain pemantauan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut merupakan aspek yang tidak boleh dikompromi bagi mengelakkan kemalangan serta kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sepanjang 2025, Maritim Malaysia telah mengendalikan sebanyak 256 operasi mencari dan menyelamat melibatkan 1,930 mangsa. Foto: Maritim Malaysia

Iklan

Beliau berkata, sepanjang 2025, Maritim Malaysia telah mengendalikan sebanyak 256 operasi mencari dan menyelamat melibatkan 1,930 mangsa.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 1,768 individu berjaya diselamatkan, manakala 125 kematian direkodkan.

"Maritim Malaysia tidak mahu melihat peningkatan statistik kemalangan di laut yang berpunca daripada kecuaian serta kurangnya kesedaran keselamatan, khususnya dalam kalangan pengguna dan pengusaha aktiviti pelancongan maritim.

“Pendekatan kami bukan semata-mata operasi penguatkuasaan, sebaliknya memberi penekanan kepada pencegahan awal dan pemantauan keselamatan bagi memastikan pelancong merasai perairan Malaysia sebagai selamat dan terkawal,” ujarnya.

Tegasnya, keselamatan di laut ialah tanggungjawab bersama dan beliau menggesa semua pihak mematuhi aspek keselamatan agar TMM 2026 bukan sahaja merancakkan ekonomi negara, malah mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan maritim yang selamat dan diyakini di mata dunia.

Dalam perkembangan lain, Maritim Malaysia akan menyambut Hari Ulang Tahun Ke-21 pada 15 Februari ini di Miri, Sarawak dengan tema '21 Tahun Maritim Malaysia: Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara' sebagai komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.