Kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya sempena Tahun Baharu Cina

Iklan
Azrin (tengah) beramah mesra dengan seorang pemandu bas ketika meninjau pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM – Larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Tahun Baharu Cina 2026 akan dikuatkuasakan secara ketat bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, larangan tersebut berkuat kuasa pada 14 hingga 15 Februari serta 21 hingga 22 Februari 2026.

Iklan
Iklan

"Penguatkuasaan larangan ini dilaksanakan secara 24 jam termasuk operasi pemantauan sebelum dan selepas tempoh larangan.

"Operasi penyamaran dan pemantauan dilaksanakan dua hari sebelum dan dua hari selepas tempoh larangan ini bagi memastikan tahap pematuhan tinggi," katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Terminal Seksyen 17 di sini pada Jumaat.

Iklan

Azrin berkata, sebanyak 15 lokasi hotspot telah dikenal pasti bagi tujuan pemantauan aliran trafik dan penguatkuasaan.

"JPJ turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi memantau pergerakan trafik di kawasan berisipadu tinggi.

Iklan

"Tujuan utama larangan adalah untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan sepanjang musim perayaan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pengusaha bas juga diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer bagi mengelakkan keletihan pemandu.

Menurutnya, semua pemandu juga perlu mematuhi disiplin pemanduan termasuk menggunakan lorong kanan hanya untuk memotong serta mematuhi had laju yang ditetapkan.

Azrin berkata, pengguna jalan raya juga digesa merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan rehat secukupnya sebelum memandu.

"Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama semua pihak.

"Orang ramai boleh menyalurkan aduan trafik melalui aplikasi MyJPJ atau e-mel rasmi JPJ bagi membantu penguatkuasaan sepanjang musim perayaan," katanya.