KUALA LUMPUR - Menawarkan pemeriksaan kesihatan, nasihat serta menjual ubatan haram antara kegiatan dikesan dijalankan di sebuah premis tersorok sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di sini pada Jumaat.
Khidmat 'doktor' tiada dokumen itu bagaimanapun terbongkar dalam serbuan bermula jam 4 petang pada Jumaat yang dijalankan Pasukan Taktikal Khas (Pastak) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.
Operasi khas hasil risikan kira-kira dua minggu itu mendapati pelanggan rata-rata terdiri daripada warga Bangladesh.
Tinjauan Sinar Harian mendapati premis berselindung di bahagian belakang kedai kain, kedai runcit, kaunter syarikat pelancongan serta kedai makan.
Pelanggan yang datang akan diminta untuk membuat pemeriksaan tekanan darah dilakukan oleh 'doktor' warga Bangladesh sebelum disaran membeli ubat tertentu yang dibawa masuk ke dalam negara secara haram.
Bukan itu sahaja, 'doktor' terbabit juga dipercayai menawarkan ubat sekitar harga RM50 hingga RM100.
Antara yang dijual adalah ubat stres dan tahan sakit, antibiotik, kencing manis, darah tinggi, kolesterol serta gastrik.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 18 lelaki terdiri 17 Bangladeh dan seorang Myanmar ditahan dalam serbuan di sembilan premis.
Menurutnya, dipercayai antara peranan warga asing itu ialah 'doktor', penjaga premis selain pelanggan.
"Kami akan melihat dari segi kesalahan seperti tiada dokumen, salah guna pas dan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peruntukan undang-undang kami yang lain, manakala pihak farmasi akan meneliti aspek mengikut Akta Jualan Dadah 1952 bagi penjualan ubatan haram terbabit.
"Apa yang menariknya, kita dapati kedai ini beroperasi sangat kompleks iaitu di bahagian hadapan menjual produk kegunaan harian.
"Namun, di dalamnya ada ruang dan bilik lain yang diubah suai untuk dijadikan klinik haram," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Tambahnya, pemeriksaan mendapati terdapat ubat yang dijual sepatutnya memerlukan preskripsi doktor pakar dan tidak sewenangnya dijual selain dimiliki dalam kuantiti banyak oleh seseorang individu.
Dedah Lokman, berdasarkan temu bual dengan pekerja Bangladesh terbabit, kebanyakan ubat itu dibawa masuk oleh pelancong dari negara mereka sebelum dihantar ke premis terbabit.
"Tiada penemuan aktiviti rawatan pembedahan di premis," ujarnya.
Tegasnya, JIM juga akan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan berkenaan keberadaan premis haram itu yang berselindung di sebalik perniagaan lain.
Jelasnya, JIM akan mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara.