Rafizi cadang Bersih ketuai himpunan bantah dakwaan penyelewengan SPRM

Iklan
Rafizi pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang pada Jumaat.

AMPANG – Lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli akan menulis surat kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan membantah penyelewangan yang didakwa berlaku dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah, Rafizi berkata, beberapa pihak juga telah menghubunginya dan meminta beliau agar menganjurkan satu demonstrasi aman.

Iklan
Iklan

“Saya dulu penganjur demonstrasi berpengalaman tapi untuk buat demonstrasi ini jangan ikut ‘kepala’ masing-masing, ia perlu diketuai satu badan yang dipersetujui dan membawa semua pihak bersama.

“Jadi saya berpendapat dalam rekod dan sejarah negara kita, yang paling baik dan neutral untuk menganjurkan perhimpunan ini ialah Bersih walaupun mereka dituduh rapat dengan Pakatan Harapan (PH). Cuma dari segi logistik, tempat dan tarikh kita serahkan kepada Bersih untuk tentukan kalau mereka bersetuju,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan laporan penyelewengan membabitkan SPRM seperti yang dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang di sini pada Jumaat.

Tujuh lagi ahli Parlimen itu ialah Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Ir Zahir Hassan (Wangsa Maju), S Kesavan (Sungai Siput) dan Tan Kar Hing (Gopeng).

Iklan

Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd bersamaan 1.7 peratus berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin lalu.

Berikutan itu, Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi lima peratus modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Bagaimanapun, Azam dilapor berkata, transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu.  Beliau juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.

Bloomberg turut menerbitkan laporan berasingan yang mendakwa SPRM bersekongkol dengan beberapa ahli perniagaan ‘bagi menyokong kepentingan individu tertentu melalui ugutan, tangkapan dan penahanan eksekutif, termasuk dalam beberapa kes mencadangkan pendakwaan’.

SPRM menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan semua siasatan dijalankan secara ketat mengikut undang-undang, berpandukan bukti serta dilaksanakan secara bebas tanpa takut atau pilih kasih.

Rafizi menjelaskan, tindakan untuk mengadakan perhimpunan itu juga menjadi salah satu daripada lima langkah yang akan dibuat mereka bermula minggu hadapan selagi kerajaan tidak memberi reaksi positif terhadap dakwaan-dakwaan yang didedahkan Bloomberg.

“Sebagai ahli Parlimen kanan kerajaan, kami (juga) akan menulis surat kepada semua ahli Parlimen yang bukan menteri dan timbalan menteri merentas parti bermula minggu depan untuk mendapatkan persetujuan mereka kepada desakan supaya Azam digantung serta-merta dan satu siasatan bebas dimulakan segera.

“Sebagai solidariti ahli Parlimen, kami menggesa supaya setiap ahli Parlimen tidak kira parti kembali ke kawasan masing-masing dan memulakan sesi penerangan mengenai dakwaan-dakwaan ini kepada penduduk di kawasan mereka,” ujarnya.

Kata Rafizi, pihaknya juga akan menulis surat kepada pimpinan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka dalam kerajaan untuk menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersetuju untuk menggantung Azam dan memulakan siasatan bebas.

“Saya juga akan membuat satu laporan polis kepada Azam sebagai susulan kepada dakwaan bahawa beliau campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyiasat sebaiknya,” ujarnya lagi.