Kenaikan harga bahan api, insurans, alat ganti antara punca tambang e-hailing meningkat

Iklan
Sistem tambang e-hailing di Malaysia beroperasi menggunakan mekanisme tambang dinamik, iaitu sistem pengiraan automatik yang ditentukan berdasarkan beberapa faktor utama. Foto hiasan

SHAH ALAM - Harga bahan api, insurans e-hailing, alat ganti dan penyelenggaraan kenderaan yang semakin meningkat merupakan antara komponen kos operasi semasa yang turut diambil kira oleh platform dalam menentukan kadar tambang.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memahami kebimbangan pengguna apabila berlaku perubahan kadar tambang yang ketara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, namun demikian, sistem tambang e-hailing di Malaysia beroperasi menggunakan mekanisme tambang dinamik, iaitu sistem pengiraan automatik yang ditentukan berdasarkan beberapa faktor utama.

"Antaranya adalah penawaran dan permintaan, jarak perjalanan (kilometer), cuaca buruk seperti hujan lebat, ribut atau banjir, masa tempahan (waktu puncak) serta lokasi.

Iklan

"Selain itu, cuti umum dan waktu perayaan turut mempengaruhi kenaikan kadar tambang. Pada ketika ini akan berlaku peningkatan permintaan, dalam masa sama sebahagian pemandu mengambil cuti atau menghadapi kekangan operasi.

"Dalam situasi ini, kadar tambang dinamik berfungsi sebagai mekanisme penstabil pasaran bagi mengimbangi kekurangan penawaran dengan lonjakan permintaan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Semalam, Sinar Harian melaporkan terdapat pengguna mempersoalkan kadar tambang perkhidmatan e-hailing yang didakwa melambung dan tidak munasabah sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini, tular di Threads tentang keluhan seorang pengguna yang mempersoalkan kadar tambang dari sebuah hotel di ibu kota ke kediamannya di Petaling Jaya naik hingga mencecah RM43.

Tambah kenyataan itu, pelarasan kadar bukan bertujuan membebankan pengguna, tetapi sebagai insentif ekonomi yang munasabah.

Penghantar turut menegaskan bahawa dalam keadaan trafik sesak, pengiraan tambang tidak boleh dinilai berdasarkan jarak perjalanan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tempoh masa perjalanan sebenar.

Jelasnya, sebagai contoh, dalam waktu puncak, perjalanan dari Bandar Sunway, Petaling Jaya ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur, walaupun jarak perjalanan sekitar 18 kilometer sahaja, tetapi boleh memakan masa sehingga satu jam perjalanan bergantung kepada tahap kesesakan lalu lintas.

"Dalam situasi sebegini, pengiraan tambang tidak boleh dinilai berdasarkan jarak semata-mata kerana tempoh masa perjalanan yang lebih panjang memberi kesan langsung kepada kos bahan api, masa bekerja pemandu serta peluang untuk menerima tempahan seterusnya.

"Tambang e-hailing turut mengambil kira kos pekerjaan yang ditanggung sepenuhnya oleh pemandu, termasuk kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan serta kos masa bagi setiap perjalanan," ulasnya.

Mengulas lanjut, Penghantar berkata, pihaknya akan terus komited memperjuangkan kebajikan komuniti pemandu e-hailing, penghantar p-hailing dan memastikan kelangsungan industri ini kekal mampan, adil serta seimbang demi kepentingan semua pihak.

"Justeru, struktur tambang yang mengambil kira realiti kos operasi dan masa perjalanan adalah penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, kestabilan pendapatan pemandu serta ketersediaan kenderaan kepada pengguna pada setiap masa," jelasnya.